HomeUtama67,214 mangsa berada di 469 PPS di 5 negeri terjejas banjir

67,214 mangsa berada di 469 PPS di 5 negeri terjejas banjir

Read Time:2 Minute, 22 Second

KUALA LUMPUR: Seramai 67,214 orang mangsa banjir daripada 18,450 Keluarga berada di 469 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) direkodkan setakat jam 2 petang hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, jumlah ini menunjukkan peningkatan mendadak berbanding laporan yang dikeluarkan semalam melibatkan lima negeri yang terkesan membabitkan lapan daerah di negeri Kelantan, lapan daerah di Terengganu,
satu daerah di Pahang, dua daerah di Perak dan satu di Johor.

Menurut Armizan, Terengganu adalah negeri yang terjejas teruk merekodkan jumlah mangsa sebanyak 39,721 orang melibatkan 318 PPS. Bagi negeri Kelantan pula, terdapat 26,513 mangsa yang ditempatkan di 138 PPS. Situasi ini berlaku akibat daripada peningkatan paras air yang naik secara mendadak.

“Menurut laporan terkini yang diterima oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara
(NADMA) daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Luruan Monsun
dijangka berterusan sehingga 25 Disember 2022 berbanding data awal sehingga 21
Disember 2022,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Armizan berkata, menurut laporan terkini yang diterima oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Luruan Monsun dijangka berterusan sehingga 25 Disember 2022 berbanding data awal sehingga 21 Disember 2022.

“Luruan Monsun ini berpotensi membawa angin kencang, ombak besar dan hujan
berterusan di negeri-negeri utara, timur Semenanjung dan timur Sabah serta di perairan Laut China Selatan.

“Justeru, MET Malaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (kemas kini 1.20 tengah hari, 20 Disember) peringkat bahaya bagi negeri Terengganu dan peringkat buruk yang melibatkan negeri Kelantan dan Pahang manakala peringkat waspada yang berkuatkuasa sehingga 22 Disember 2022. Manakala AmaranAngin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan dijangka berlaku sehingga 22 Disember 2022,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat telah dimaklumkan, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) juga telah memberi peringatan kepada penduduk-penduduk yang berada di kawasan hotspot tanah runtuh agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan berwaspada dengan tanda-tanda kemungkinan berlakunya ancaman tanah runtuh di kawasan kediaman masing-masing.

“Perkara ini perlu diberikan perhatian dalam tempoh dua hingga tiga hari walaupun selepas hujan berhenti kerana keadaan tanah yang mengalami peresapan air sebelumnya boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh terutamanya di lereng-lereng bukit yang
berkecerunan 25° ke atas.

“Berdasarkan laporan daripada PKOB Negeri Kelantan dan Terengganu, buat masa ini
operasi menyelamat masih berada dalam situasi terkawal. Pada masa yang sama,
penyelarasan juga telah dibuat untuk penambahan aset logistik seperti lori berkapasiti tinggi melebihi 5 tan, bot dan kenderaan pacuan 4 roda (4×4) bagi memudahkan anggota penyelamat memasuki kawasan yang terputus hubungan.

“Pihak PKOB daerah-daerah yang terlibat juga telah diminta menyelaras pendaftaran
dan pergerakan para sukarelawan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang
hendak menjalankan misi bantuan di kawasan banjir.

“Penyelarasan ini penting bagi memastikan aspek keselamatan diutamakan dan bantuan yang ingin disampaikan adalah menyeluruh dan bukan hanya tertumpu pada kawasan tertentu sahaja,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan negeri hargai peranan media di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya