KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) akan mengadakan sesi pemilihan pemain bagi membawa cabaran pasukan Piala Presiden dan Piala Belia untuk menghadapi saingan musim 2023.
Setiausaha Agung SAFA, Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, sesi pemilihan berkenaan dijangka akan diadakan menjelang Januari tahun hadapan membabitkan lapan zon di seluruh negeri ini.
Katanya, keputusan itu diambil hasil perbincangan dengan Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
“Perbincangan berkenaan memutuskan pasukan untuk kedua-dua kejohanan ini akan dikendalikan oleh SAFA sendiri,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.
Menurut Jelani, sesi pemilihan ini bertujuan untuk mencari pemain berkaliber bagi memantapkan lagi saingan pasukan Sabah dalam kedua-dua kejohanan berkenaan.
“Bagaimanapun, tarikh dan lokasi sesi pemilihan itu akan diumumkan sebaik pihak pengurusan SAFA dapat mengesahkan mengikut kesesuaian.
“Pemilihan ini terbuka kepada semua pemain bawah 18 dan 20 tahun yang ingin melangkah lebih jauh dalam sukan bola sepak,” katanya.
Beliau berkata, sesi pemilihan berkenaan akan dikendalikan panel pemilihan yang diketuai Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat bersama barisan penyelaras dilantik dengan kerjasama SAFA daerah.
“Antara barisan kejurulatihan yang bakal dijemput untuk membantu dalam sesi pemilihan ini termasuklah Jelius Ating, Burhan Ajui dan Irwan Jamil.
“Justeru, ini adalah peluang terbuka kepada mana-mana lepasan sekolah atau pemain bawah 20 tahun yang ingin mengetengahkan bakat mereka.
“Kita mengharapkan pemain yang hadir pada sesi pemilihan itu nanti dapat menunjukkan prestasi terbaik sekaligus mampu memikat panel pemilihan,” katanya.