HomeUtamaKPT Salur RM2 Juta, Nasihat IPT Terkesan Anjalkan PdP 

KPT Salur RM2 Juta, Nasihat IPT Terkesan Anjalkan PdP 

Read Time:2 Minute, 6 Second

KUALA LUMPUR — Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meluluskan serta-merta peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membantu menyediakan bantuan dan kebajikan warganya.

Ia membabitkan jabatan dan agensi di bawah kementian itu, selain universiti awam (UA), politeknik serta kolej komuniti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, melalui Briged Sukarelawan institusi pengajian tinggi (IPT) sehingga semalam, seramai 7,741 sukarelawan daripada 726 staf dan 7,015 pelajar dari seluruh negara digerakkan bagi mengedarkan bantuan kotak makanan, pakaian, wang tunai, peranti dan kit kebersihan.

“Susulan banjir Monsun Timur Laut, saya ingin kongsikan status semasa dan pelan tindakan yang sudah dan sedang diambil pihak KPT.

“Secara amnya, KPT mengambil tindakan merangkumi penyelarasan gerakan kesukarelawanan, pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bencana, mobilisasi aset, operasi bilik gerakan dan penyampaian pelbagai bentuk bantuan.

“Satu Bilik Gerakan Banjir di peringkat KPT diaktifkan bermula 18 November lalu yang beroperasi 24 jam sehari. Lima saluran talian telefon dan satu emel dibuka bagi memudahkan orang ramai mengemukakan sebarang aduan kecemasan (rujuk lampiran). Bilik Gerakan Peringkat UA turut dibuka dan dikendalikan universiti masing-masing,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, pihak KPT juga menggerakkan pasukan khas bagi menawarkan khidmat sokongan psikologi kepada mangsa.

“Dari segi logistik, sejumlah 61 bas/coaster, 38 SUB/4WD, 37 van, 17 lori dan 3 bot dilibatkan. Briged Sukarelawan IPT turut menyediakan 80 waterjet, 21 waterpump dan 15 generator bagi membantu serta mempermudah kerja pemulihan di kawasan terkesan.

“Terdapat tiga fasiliti di bawah KPT didaftarkan sebagai PPS, iaitu Kolej Komuniti Bentong, Pahang; Politeknik Mersing, Johor dan Politeknik Kok Lanas, Kelantan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, sehingga semalam, seramai 5,404 warga KPT dan pelajar IPT terkesan, merangkumi 5,268 pelajar dan 136 staf.

“(Mereka) antaranya daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Politeknik Hulu Terengganu (PHT),” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihak universiti, politeknik dan kolei komuniti yang terjejas dinasihat memberikan keanjalan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) sama ada secara dalam talian, mod asynchronous atau hibrid.

Jelasnya, pihak IPT itu juga dinasihat menangguhkan PdP mengikut tahap keseriusan bencana dihadapi di kawasan masing-masing.

Malah, katanya, Jawatankuasa Pengurusan Banjir Peringkat KPT akan terus memantau keadaan di kawasan berkenaan.

“Pelajar dan kakitangan IPT yang terkesan akibat banjir dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, menjaga keselamatan diri serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Saya menyeru sema pihak di seluruh negara untuk bersama-sama mendoakan agar warga KPT/pelajar IPT dan orang awam yang terkesan, selamat serta dipermudah segala urusan mereka,” katanya

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya