HomeSukanPan Gon puji semangat juang Harimau Malaya tentang Myanmar

Pan Gon puji semangat juang Harimau Malaya tentang Myanmar

Read Time:1 Minute, 51 Second

BERNAMA

YANGON: Ketua jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan Gon memuji semangat juang yang dipamerkan anak buahnya selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Myanmar pada perlawanan pembukaan Kumpulan B kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN 2022 (AFF) malam tadi.

Pan Gon mengakui kemenangan tipis di Stadium Thuwunna tidak terhasil dengan mudah terutamanya apabila para pemain terpaksa melalui masa sukar bermain dalam keadaan yang berbeza daripada biasa.

“Tahniah kepada pemain Harimau Malaya kerana menyumbang tiga mata, ia adalah perlawanan yang sukar dengan keadaan berbeza, padang berbeza selain cuaca dan masa.

“Semua keadaan itu bukan mudah untuk para pemain tapi kita sudah jangkakan ia satu perlawanan sukar kerana tiada pasukan yang mahu tewas di hadapan penyokong sendiri,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu di sini malam tadi.

Pada masa sama, Pan Gon berkata barisan pemain tidak menunjukkan permainan terbaik mereka dan mengakui tuah menyebelahi pasukan negara apabila penjaga gol kebangsaan Ahmad Syihan Mohamed Hazmi meranapkan peluang tuan rumah untuk menyamakan kedudukan selepas memperoleh sepakan penalti pada minit akhir perlawanan.

“(Secara keseluruhan) Saya rasa ia adalah permulaan yang baik, perlawanan pertama di tempat lawan dan kita capai sasaran untuk membawa pulang tiga mata. Kita akan persiapkan pasukan untuk berdepan Laos (24 Dis) dan membetulkan beberapa perkara agar lebih baik pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Malaysia akan menerima kunjungan Laos pada perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, Ahmad Syihan berterima kasih kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan yang sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya dalam dan luar padang untuk memburu keputusan positif pada setiap perlawanan.

Katanya, kejayaan menundukkan Myanmar ialah motivasi terbaik buat pasukan untuk mengharungi baki saingan kumpulan terutama dua perlawanan getir berdepan Vietnam di Hanoi pada 27 Dis dan aksi terakhir bertemu Singapura di Bukit Jalil (3 Jan).

“Perlawanan malam ini (tadi) memang pembakar semangat pasukan dan saya minta semua penyokong Malaysia doakan kami pergi lebih jauh sehingga final. Malam ini bukan saya seorang tetapi semua pemain daripada pertahanan ke bahagian depan semua berikan segalanya,” kata penjaga gol berusia 26 tahun itu.

Pemain sayap lincah, Mohamad Faisal Abdul Halim dan Ahmad Syihan masing-masing muncul wira Malaysia apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-52 dan bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti Myat Kaung Khant pada penghujung perlawanan.- BERNAMA

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC beraksi tanpa 6 pemain utama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular