HomeSukanPiala AFF: Harimau Malaya mudah baham Laos lima gol tanpa balas

Piala AFF: Harimau Malaya mudah baham Laos lima gol tanpa balas

Read Time:1 Minute, 33 Second

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 apabila mudah menumpaskan Laos dengan keputusan lima gol tanpa balas.

Aksi kedua yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi membolehkan anak buah Kim Pan Gon mengutip enam mata maksimum untuk mengungguli Kumpulan B.

Kemenangan itu juga merupakan yang keenam berturut turut ke atas pasukan ke-187 dunia itu.

Pada aksi terbabit, ‘bayangan’ aksi dari Myanmar seakan berulang sekalipun Pan Gon melakukan rombakan besar dengan lapan pertukaran – hanya Faisal Halim, Safawi Rasid dan Sharul Nazeem Zulpakar dikekalkan.

Ini kerana skuad kebangsaan lambat ‘panas’ apabila perlu mengambil sedikit masa untuk mendapat rentak sekalipun menguasai sebahagian besar permainan.

Pertahanan kental Laos akhirnya ‘bocor’ pada minit ke-28 menerusi gerakan sebelah sayap kiri apabila hantaran Nor Hakim Hassan disudahkan Sergio Aguero dari jarak dekat.

Malaysia terus ‘menghujani’ Laos dengan beberapa percubaan dan Laos nyaris dibolosi dengan gol sendiri namun ketangkasan Keo Oudone Souvannasangso memastikan kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, skrip berbeza ditampilkan skuad negara apabila Malaysia ‘menggoncangkan’ gawang Laos sebanyak empat kali dalam tempoh 45 minit.

Kisah di Myanmar diteruskan di Kuala Lumpur apabila gandingan Safawi-Faisal terus ‘mengganas’ apabila Safawi sekali lagi mencipta bantuan gol buat Faisal pada minit ke-65 untuk meletakkan Malaysia terus selesa 2-0.

Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi bergema dengan sorakan ‘siuuuuu’ apabila Faisal meledak gol kedua peribadinya dengan menyudahkan hantaran lintang Nor Hakim – 3-0 buat negara hanya dua minit selepas kedudukan bertukar 2-0.

Penyerang muda yang meraih debut bersama skuad kebangsaan, Haqimi Azim Rosli bagaikan ‘menyerap’ semangat Faisal selepas menggantikan pemain itu pada minit ke-71 apabila meledak gol keempat Malaysia pada minit ke-77.

Tiada belas kasihan – nasib Laos terus bertambah parah apabila seorang lagi pemain gantian, Stuart Wilkin melengkapkan malam gemilang buat skuad negara dengan gol kelima pada minit ke-86.

RELATED ARTICLES
Sukan

Kejohanan Piala SMJ uji kekuatan Sabah FC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya