PM arah Fadillah dan Armizan selesaikan perkara berbangkit MA63 dalam tempoh sebulan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 19 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikan semua perkara berbangkit berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Armizan menjelaskan bahawa tempoh sebulan untuk menyelesaikan semua masalah berbangkit MA63 itu adalah arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepadanya dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Sebenarnya itu bukanlah janji saya, tetapi itu adalah komitmen tinggi yang dizahirkan oleh YAB Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau telah memberi arahan kepada Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Timbalan Perdana Menteri II dan saya sendiri selaku menteri yang bertanggungjawab Sabah dan Sarawak dalam tempoh 30 hari kami mesti membentangkan memorandum jemaah menteri kabinet untuk melihat daripada dapatan-dapatan hasil daripada rundingan-rundingan daripada ketiga-tiga kerajaan Kerajaan Persekutuan, Sabah Dan Sarawak.

“kita akan membentangkan rundingan-rundingan itu pada 4 Januari akan datang, tempoh 30 hari itu berakhir pada 5 Januari, namun dalam mesyuarat kabinet yang lepas saya telah membentangkan nota jemaah menteri,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke lapangan bencana mangsa tiupan angin kencang dan ombak besar di Kampung Tanjung Aru Baru di sini, hari ini.

Menurut Armizan, membentangkan nota jemaah menteri itu sebagai maklumat awal kepada ahli jemaah menteri dan akan disusuli dengan memorandum jemaah menteri pada 4 Januari nanti.

“Antara lain adalah kajian dan cadangan kita adalah apakah isu-isu yang berbangkit di dalam isu tersebut dan mungkin saya maklumkan di sini bahawa hasil daripada sebenarnya perjuangan ini bukan lah bermula hari ini, platform rasmi rundingan di antara kdua-dua belah pihak ini sudah pun bermula pada 2016 , Jawatankuasa Khas Kabinet, Majlis Khas MA63, dan tanggungjawab saya sekarang adalah memurnikan laporan-laporan tersebut,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut memaklumkan sudahpun membentangkan 27 perkara yang dibangkitkan oleh kedua-dua kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

“Sebenarnya saya telah bentangkan nota di kabinet terdapat 27 isu ataupun perkara yang dibangkitkan oleh kedua-dua kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

“Daripada 27 perkara itu, 22 perkara itu sebenarnya berkait secara langsung dengan MA63 dan juga Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) manakala lima lagi adalah syor-syor tambahan dan tidaklah berkait secara langsung dan inshaAllah, satu telah diumumkan oleh YAB PM Datuk Seri Anwar Ibrahim, hasil daripada nota jemaah menteri yang dikemukakan dan kebetulan pada masa itu kita telah berbincang awal kementerian ekonomi pada masa itu membentangkan perkara berkaitan dengan apa yang telah diumumkan iaitu penyerahan kuasa kawal selia gas daripada persekutuan kepada Negeri Sabah yang sebenarnya kuasa Negeri Sabah tetapi berlaku pindaan undang-undang pada tahun 1980 maka kuasa itu diangkat ke persekutuan.

“Hasil daripada permintaan Kerajaan Negeri dan keprihatinan Kerajaan Persekutuan kabinet telah meluluskan supaya bermula Januari ini, inshaAllah, kuasa kawal selia gas ini akan diserahkan semula kepada kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *