Oleh NORMIMIE DIUN
PENAMPANG: Kira-kira 7,000 orang menghadiri Majlis Ramah Mesra Sempena Sambutan Krismas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict bersama Usahawan Penampang berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 Disember di Pusat Kebudayaan di sini, hari ini.
Turut hadir memeriahkan majlis Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam meraikan perayaan Krismas, Hajiji turut mengingatkan supaya kita tidak melupakan mereka yang ditimpa musibah seperti banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.
“Disamping kita meraikan Hari Krismas ini, kita jangan juga lupa mereka yang ditimpa musibah terutama sekali dalam keadaan banjir sekarang ini,
“Namun kita telah beri perhatin yang khusus kepada mereka yang terlibat dalam ditimpa bencana banjir dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita semasa majlis itu.
Terdahulu, Hajiji turut berkesempatan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas Parti Bersatu Sabah di Dewan Hakka, Kota Kinabalu.
Beliau turut menyampaikan ucapan sempena sambutan Krismas untuk seluruh rakyat khususnya di Sabah ini.
“Saya ucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada rakyat kita yang beragama Kristian dan sebagaimana di Sabah ini semua kita juga turut meraikan untuk memeriahkan hari yang besar bagi umat Kristian di sini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hajiji memaklumkan hubungan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Persekutuan dan negeri adalah baik.
“Kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Persekutuan dan negeri cukup baik kerana bencana alam berlaku tanpa mengira batasan dan sempadan ianya dalam negara kita, jadi mana-mana yang ditimpa bencana Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bersama-sama mengambil tindakan yang proaktif dan membantu mereka yang terlibat,” jelasnya.
Sementara itu, pada majlis sama, Ewon turut menasihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia pada musim perayaan ini supaya mengutamakan keselamatan semasa keadaan cuaca yang tidak menentu ini.
“kita maklum sekarang ini adalah musim perayaan sambutan Krismas dan sambutan Tahun Baru serta musim cuti sekolah, keluarga ingin mengambil kesempatan cuti perayaan bersama keluarga masing-masing tapi kita maklum keadaan cuaca yang agak mencabar daripada ramalan cuara yang diberikan Meterologi Malaysia kita ambil maklum amaran-amaran ini sebagai persiapan awal supaya kita dapat mengurus percutian kita di kampung.
“Justeru, kita ambil tindakan berhati-hati supaya kita dapat berjaga-jaga kerana nyawa dan harta benda lebih penting daripada sambutan perayaan tetapi dalam keadaan kita ini, kita masih boleh menyambut sambutan secara kesederhanaan dan gunakan kesempatan itu memperkasakan hubungan dalam masyarakat kita supaya menjadi lebih baik.
“Saya melihat ramai masyarakat Muslim juga datang ke Pusat Kebudayaan ini saya sangat terharu, ini yang kita mahu supaya sambutan ini adalah sambutan rakyat Malaysia bukan sambutan saya seorang sahaja,” katanya.
Pada majlis dua hari itu, selain jamuan makanan pelbagai jenis disajikan, ada juga pelbagai produk tempatan dan perkhidmatan dipamerkan dan dijual daripada usahawan-usahawan tempatan dan agensi-agensi kerajaan dan swasta.