Amaran angin kencang, laut bergelora di beberapa negeri termasuk Sabah, Sarawak

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di sekitar perairan negara, melibatkan beberapa negeri hingga Khamis ini.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan Amaran Kategori Ketiga melibatkan kejadian angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam (kmj), dengan ombak melebihi 4.5 meter, dikeluarkan di kawasan perairan Sabah Barat, Labuan, dan Sabah Timur.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi aktiviti perkapalan melibatkan kawasan perairan tenggara Reef North, Labuan, Timur Palawan dan Sulu, yang dijangka berlaku sehingga esok (27 Dis).

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Amaran Kategori Kedua melibatkan fenomena angin kencang berkelajuan 50 hingga 60kmj dengan ombak setinggi 4.5 meter, dikeluarkan di perairan Sarawak yang dijangka berlaku sehingga 29 Dis ini.

“Kawasan yang turut terlibat ialah perairan Condore, Bunguran Utara, Reef North, Reef South, Layang-layang dan Barat Palawan. Kejadian ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” menurut MetMalaysia.

Bagi Amaran Kategori Pertama, angin kencang berkelajuan 40 hingga 50kmj dengan ketinggian ombak 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga Khamis ini.

Amaran itu turut melibatkan kawasan perairan Tioman dan Bunguran Selatan sekali gus, berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Kenyataan mengenai amaran itu dikeluarkan MetMalaysia pada 2 petang, hari ini.- BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *