Sistem perparitan baik bantu atasi masalah banjir menerusi program tanam semula

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

BEAUFORT: Peneroka khususnya di daerah ini diseru untuk menyertai program tanam semula dibawah pelaksanaan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS).

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Aminah Aching berkata, program yang dilaksanakan itu juga berupaya membantu mengatasi masalah banjir selain memudahkan hasil tuaian diperolehi dengan lebih mudah.

“Pada hari ini saya berkesempatan untuk meninjau keadaan kawasan ladang tanam semula Skim Rancangan Klias yang sebelum ini sinonim dengan banjir menyebabkan para peneroka tidak dapat mengeluarkan hasil tuaian sawit.

“Namun dengan adanya program tanam semula yang dilaksanakan LKTNS menerusi kaedah tertentu seperti jarak penanaman dan sistem perparitan yang teratur akan dapat mengurangkan lebih 80 peratus masalah banjir yang dialami para peneroka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke ladang tanam semula Skim Rancangan Klias di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar LKTNS Syaheddrul R Joddari.

Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, sehingga kini seramai 28 orang peneroka telah menyertai program ini melibatkan keluasan sebanyak 119 hektar.

Katanya, program penanaman semula ini akan mengambil masa hampir lima tahun bagi membolehkan para peneroka terlibat menerima hasil.

“Seperti yang diterangkan, penanaman ini akan mengambil masa dalam tempoh lima tahun untuk mengeluarkan hasil.

“Kita percaya dengan adanya kaedah baru ini, mereka yang terlibat akan mengeluarkan hasil dengan lebih baik dan kita melihat sistem perparitan yang baik juga merupakan langkah yang baik bagi mengatasi masalah banjir,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh itu, para peneroka terlibat akan diberikan sara hidup selain melaksanakan aktiviti tambahan bagi menambah pendapatan semasa sementara menunggu hasil tuaian sawit.

“Antara aktiviti tambahan itu termasuklah penanaman jagung, ubi keledek dan penternakan ayam bagi membantu menambah pendapatan mereka.  Justeru kita menyarankan agar peneroka lain juga dapat turut sertai dalam program ini,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *