HomePendapatDi mana peranan IPT, golongan muda dalam pembinaan negara bangsa Malaysia?

Di mana peranan IPT, golongan muda dalam pembinaan negara bangsa Malaysia?

Read Time:5 Minute, 29 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Pembinaan negara bangsa atau sering disebut ‘Nation Building’ adalah satu aspirasi yang perlu didokong dalam memastikan kemakmuran sesebuah negara.  Perkembangan pesat teknologi, perubahan sosio ekonomi, serta lanskap politik memberi kesan terhadap usaha- usaha untuk merealisasi aspirasi  ini.  Tidak kira apa jua definasi yang ditafsirkan berkaitan pembinaan negara bangsa; sama ada pembinaan negara, pengukuhan bangsa sesebuah negara, pembangunan negara berbilang bangsa, penyatuan bangsa, pembinaan negara perpaduan, atau definasi semudah ukhuwah masyarakat, semua ini bermatlamatkan kestabilan sesebuah negara bagi menjamin kemakmuran.  Hanya apabila sesebuah negara itu stabil baharulah usaha-usaha pembangunan negara akan menjadi lebih realistik dan berkesan.

Pendidikan tinggi di negara ini telah mengalami pelbagai perubahan, berevolusi semenjak dari kali pertama kewujudan penubuhan universiti pertama di negara ini secara rasminya pada tahun 1962. Kini dengan 20 buah universiti awam, dan 417 buah institusi pendidikan tinggi swasta, seharusnya kita tidak kekeringan golongan muda sebagai pelapis kepada kesinambungan kestabilan negara ini.  Persoalannya adakah kita telah benar-benar berjaya menghasilkan mahasiswa yang dapat menjiwai aspirasi pembinaan negara bangsa ini?.

Golongan muda adalah aset negara.  Golongan ini adalah pelapis kepada usaha-usaha berterusan negara dalam memastikan negara akan sentiasa terkehadapan dan seiring dengan negara-negara maju.   Malah perkataan maju itu bukan sekadar maju dari segi ekonomi, atau maju dari segi teknologi, maupun maju dari segi komersialisasi dan kreatif sahaja, maju ini juga merujuk kepada maju dari segi minda dan pemikiran.  Berbalik kepada persoalan di awal tadi, adakah kita telah berjaya menghasilkan golongan muda yang diharapkan ini?  Secara dasarnya, usaha menghasilkan golongan muda yang ‘reliable’ ini secara tidak langsung terletak di bahu institusi-institusi pendidikan tinggi yang tentunya bergerak menurut acuan semasa. Keseimbangan harus diberi selari dengan keperluan dalam negara dan perkembangan di peringkat global lanskap pendidikan tinggi.     

PELUANG PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

Di dalam merealisasikan ke arah negara maju, kita memerlukan sistem yang menyokong pembelajaran pada apa jua peringkat dan masa.  Setiap dari kita berbeza-beza cabaran dan keutamaan semasa, ada yang terus menyambung ke peringkat universiti, ada yang perlu mendahulukan perkara-perkara peribadi yang lain.   Walau pun begitu sistem pendidikan tinggi di negara ini jelas menyokong konsep pembelajaran sepanjang hayat.  Sistem pembelajaran sepanjang hayat ini tidak hanya tertumpu kepada kemahiran dan pengetahuan bidang semata -mata,  nilai-nilai murni dan kecintaan terhadap negara perlu juga diberi tempat di dalam proses penyediaan silibus peringkat universiti.  Pembelajaran sepanjang hayat adalah merupakan platfom terbaik menyulam semangat perpaduan yang boleh dijiwai oleh golongan muda dan bekerja yang menyambung pelajaran.  Kehadiran Covid-19 telah memaksa kita semua berubah, beradaptasi dengan teknologi.  Teknologi telah menyelamatkan industri pendidikan tinggi dan proses pembelajaran mahasiswa menjadi nyata walaupun secara maya. 

Di UiTM umpamanya, pembelajaran sepanjang hayat ini telah dipertanggungjawabkan kepada Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional atau lebih dikenali sebagai iCEPS.  Pada tahun 2019 setelah melalui penjenamaan semula, iCEPS telah mengubah lanskap pembelajaran sepanjang hayat kepada peluang pembelajaran yang lebih versatil.  Institut yang telah wujud semenjak tahun 1973 ini yang dahulunya hanya memfokuskan kepada bekerja sambal belajar, kini telah memperkasakan pembelajaran separuh masa dengan penggunaan platfom pembelajaran secara digital yang dikenali sebagai platfom U-Future, malah turut memperkenalkan pelbagai kursus jangka pendek, serta pembelajaran secara maya melalui program-program secara Massive Open Online Course (MOOC) yang berkonsepkan proses pembelajaran bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa memerlukan lokasi tertentu.  Sehingga kini melalui MOOC, iCEPS telah menawarkan sebanyak 800 kursus dan mempunyai seramai 160,000 pelajar daripada 154 buah negara.

Peluang melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi akan membuka ruang kepada golongan bekerja untuk menganalisa situasi semasa, perbincangan kuliah membuka ruang untuk mereka berfikir dan berdebat secara ilmiah dan ini secara langsung akan menjadikan mahasiswa lebih berketrampilan.  Mengajar di universiti itu mungkin biasa pada pandangan sesetengah orang kerana pelajar yang diterima masuk insitusi pendidikan tinggi sememangnya sedia pandai, namun apa yang lebih mencabar adalah tanggungjawab universiti mendidik dalam menghasikan mahasiswa sebagai insan yang berguna kepada masyarakat dan negara.   Seperti yang disebut oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Institusi pendidikan tinggi di negara ini perlu memberi kematangan dan peluang memajukan diri kepada mahasiswa.  Pendidikan tinggi bukan sahaja mesti memastikan kandungan dan pendekatan ilmu yang berkualiti tetapi turut memberikan pendedahan serta pengalaman yang akan mematangkan pelajar.

SILIBUS KURSUS – PENERAPAN NILAI NILAI MURNI DALAM MENJIWAI USAHA PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Di peringkat sekolah rendah dan menengah dapat dilihat melalui matapelajaran- matapelajaran tertentu pengenalan kepada kecintaan kepada negara dan usaha-usaha menerapkan nilai-nilai murni sememangnya telah dibuat.  Cuma adakah nilai-nilai ini meresap ke dalam jiwa anak-anak kita atau sekadar cemerlang di dalam peperiksaan?  Bagaimana pula setelah selesai sistem persekolahan?  Adakah golongan muda ini yang bakal menjadi mahasiswa dan mahasiswi masih memegang nilai nilai murni dan mendukung prinsip prinsip rukun negara?  Apa pula peranan sebuah universiti? 

Jadi, usaha ini tidak seharusnya berhenti di peringkat persekolahan.  Tidak dinafikan hampir kesemua institusi pengajian tinggi di negara ini mempunyai kursus yang menyulam elemen elemen pembinaan negara bangsa baik melalui silibus maupun kerja-kerja kursus.  Universiti Teknologi MARA umpamanya mewajibkan para pelajar mengambil kursus Falsafah dan Isu Semasa (CTU552), dan kursus Penghayatan Etika dan Peradaban (CTU554) di semester satu dan semester 2 yang telah direka bentuk mengambil kira kepentingan elemen perpaduan negara kita yang berbilang bangsa. Kita mahu pelajar bukan sahaja cemerlang akademik tapi mampu menjadi pelapis bangsa yang mempunyai empati dan kecintaan yang tinggi terhadap negara.       

Universiti-universiti swasta juga seharusnya mengambil inisiatif di dalam usaha mencapai pembangunan perpaduan ini.  Saya yakin usaha telah ada tapi tumpuan boleh dipertingkatkan.  Jadikan pendidikan ini sebagai wadah pembinaan negara bangsa.  Biar kita semua ada rasa bangga menjadi anak Malaysia.  Namum begitu, perasaan bangga sahaja tidak mencukupi sekiranya tiada usaha ke arah memastikan ianya dapat direalisasikan.  Peranan institusi-institusi pendidikan tinggi awam dan swasta perlu diberi nafas baharu serta direka bentuk semula untuk disesuaikan dengan keperluan anak muda mahasiswa. ‘Technology driven’ adalah prinsip asas di dalam memenangi minat golongan muda.  Merekalah harapan bangsa, mereka penggerak, mereka punyai idea-idea baharu yang segar dan kreatif jadi jangan dipandang sepi terhadap peranan dan cadangan golongan muda ini.  Golongan lama perlu melepaskan ego dan berganding bahu di dalam memastikan pembangunan negara serta perpaduan dapat dicapai.  Semoga tahun 2023 memberi seribu nikmat dan disyukuri oleh kita bangsa Malaysia.  Selamat tahun baharu.  

Prof Dr Azizul Halim bin Yahya
Ketua Eksekutif
Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS)
UiTM

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular