Datuk Seri Hajiji Noor

Tahun Baharu 2023: Rapatkan saf, teruskan momentum, fokus pemulihan ekonomi – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Kita melangkah ke tahun baharu dengan azam, bersatu dalam kepelbagaian dan melakukan yang terbaik mengikut mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kita, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata, sempena menyambut Tahun Baharu ini, banyak perkara yang boleh kita syukuri. Bahang pilihan raya telah reda dan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang baharu telah pun dibentuk.

“Kerajaan akan meneruskan momentum dan menetapkan sasaran kepada lebih banyak peluang yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor di seluruh negeri.

“Sekarang adalah masanya untuk semua pihak merapatkan barisan atau saf, bekerjasama dan mengetepikan sebarang perbezaan supaya kita boleh terus melakukan yang terbaik untuk Sabah.

“Marilah kita semua bersatu terus ke hadapan dan fokus kepada pemulihan ekonomi. Masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2023, hari ini.

Menurut Hajiji, tahun 2022 merupakan tahun yang baik dan kami telah melakukan yang terbaik di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kejayaan kita adalah bukti bahawa kita
berada di landasan yang betul.

“Sehingga kini, kerajaan negeri telah memperoleh hasil sebanyak RM6.6 bilion, bukti bahawa ini adalah prestasi terbaik kita sejak merdeka melalui pembentukan Malaysia pada 1963.

“Kerajaan negeri tidak akan berhenti untuk berpuas hati. Kami akan terus melaksanakan dasar yang kukuh untuk membawa lebih banyak pelaburan ke negeri ini dan mewujudkan lebih banyak ‘spin-offs’ ekonomi seperti yang dibuktikan dalam Belanjawan Negeri 2023 bernilai RM5.138 bilion yang diluluskan baru-baru ini, yang terbesar dalam sejarah negeri,” katanya.

Tambah beliau, di bawah inisiatif mesrapelabur SMJ, Kerajaan Negeri Sabah telah mencapai rekod pelaburan langsung asing serta pelaburan domestik. Yang terbaru ialah projek keluli hijau bersepadu bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Menerusi projek ini, kita akan
memperoleh RM33.4 bilion termasuk beberapa lagi projek pelaburan yang kini dalam proses untuk dilaksanakan. Sabah juga dijangka mengutip hasil tambahan RM2.45 bilion setahun dalam bentuk royalti dan bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) daripada minyak dan gas,” jelasnya.

Beliau berkata, semua kejayaan dan perancangan masa depan ini tidak akan bermakna jika kita tidak mempunyai persekitaran yang kondusif untuk mencapai matlamat pembangunan.

“Bagi memastikan keadaan ini, adalah penting untuk kita mempunyai kestabilan politik. Kita mesti.menghalang sebarang bentuk perpecahan yang hanya akan memisahkan kita.

“Justeru, marilah kita berganding bahu
merealisasikan empat tonggak pertumbuhan untuk menyokong agenda pembangunan Sabah Diutamakan, Sabah Melangkah ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah Bersatu. Kita boleh melakukannya!,” tegasnya.

Hajiji turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada beliau sepanjang menerajui Kerajaan Negeri ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih wekepada rakan-rakan saya dalam Kerajaan Negeri termasuk penjawat awam dan juga rakyat atas sokongan berterusan mereka.

“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Salam hormat kepada semua rakyat Malaysia di Sabah. Saya mengucapkan selamat Tahun Baharu 2023 kepada anda semua,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *