HomeUtamaSHMMP: 3,255 premis perniagaan seluruh negara diperiksa

SHMMP: 3,255 premis perniagaan seluruh negara diperiksa

Read Time:1 Minute, 36 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

PUTRAJAYA: Sebanyak 3,255 premis perniagaan diperiksa sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2022 (SHMMP) bermula 23 hingga 27 Dis lepas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata pemeriksaan itu melibatkan 58 premis borong dan 3,197 premis runcit di seluruh negara.

“Sepanjang tempoh kuat kuasa skim, tiada aduan diterima berkaitan pelaksanaan SHMMP Krismas 2022 dan hanya satu tindakan undang-undang dikenakan terhadap peniaga kerana gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Skim kawalan berkenaan berkuat kuasa selama lima hari itu dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), dengan penentuan harga dibuat di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

Sebanyak 11 barangan tersenarai sebagai barangan kawalan di bawah skim itu antaranya ayam tua hidup (dikawal di Sarawak sahaja), kepak ayam (dikawal di Sarawak, Sabah dan Labuan), daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, lada benggala hijau dan kubis bulat import (China dan Indonesia).

Sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan, Salahuddin berkata Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ditugaskan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar raya dan premis perniagaan yang menjadi tumpuan pengguna untuk membeli barangan keperluan perayaan.

“Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan lebih berkesan. Tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna melalui tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya.

Salahuddin sebelum ini dilaporkan berkata lebih 2,000 Pegawai Penguat Kuasa KPDN ditugaskan di lokasi strategik bagi memantau aktiviti penjualan barangan keperluan perayaan.

Beliau berkata berdasarkan pemantauan KPDN dan maklum balas orang ramai, pelaksanaan SHMMP Krismas 2022 berjalan lancar serta tiada kenaikan harga dikesan selepas berakhirnya skim itu.

“Jalinan kerjasama serta penambahbaikan yang dibuat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama agensi di bawahnya termasuk pihak berkuasa tempatan, pengeluar, pemborong, peruncit, dan pengguna sepanjang pelaksanaan SHMMP Krismas 2022 merupakan punca kejayaan skim ini,” katanya. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

QSB kukuh kolaborasi dalam pengurusan kesihatan pekerja asing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya