HomeLuar negaraMaghribi larang kemasukan pelancong dari China

Maghribi larang kemasukan pelancong dari China

Read Time:1 Minute, 18 Second

BERNAMA

ANKARA: Maghribi bakal mengenakan larangan masuk kepada pelancong dari China mulai 3 Januari berikutan peningkatan kes COVID-19, menurut kenyataan Kementerian Luar semalam.

“Pihak Berkuasa Maghribi memutuskan untuk melarang akses ke wilayah Maghribi kepada semua pengembara yang datang dari China tanpa mengira kewarganegaraan mereka,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian itu.

Keputusan itu dibuat untuk mengelakkan gelombang penularan baharu di negara itu.

Sementara itu, Kanada semalam mengumumkan, penumpang yang datang dari China, Hong Kong dan Macau perlu menyerahkan keputusan ujian saringan COVID-19 yang negatif sebelum menaiki penerbangan ke negara itu.

Kementerian Kesihatan Kanada menyatakan bahawa semua pengembara udara dari lokasi itu ‘perlu memberikan bukti keputusan ujian COVID-19 negatif kepada syarikat penerbangan sebelum menaiki pesawat dan ujian saringan itu mesti diambil tidak lebih daripada dua hari sebelum berlepas’.

Keputusan itu tertakluk kepada pengembara berumur dua tahun dan ke atas berkuat kuasa 5 Januari ini.

Langkah itu akan dilaksanakan selama 30 hari dan pihak berkuasa akan menilai semula apabila lebih banyak data serta bukti tersedia.

Keputusan itu dibuat selepas lonjakan kes dan ‘data jujukan genom epidemiologi serta virus yang terhad pada kes ini’, menurut Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Jepun, Itali dan Sepanyol turut menguatkuasakan keperluan perjalanan baharu untuk mereka yang datang dari China termasuk keputusan ujian negatif COVID-19.

China baru-baru ini mengumumkan akan mula melonggarkan langkah pencegahan pandemik dan memilih ‘hidup bersama COVID-19’ selepas tiga tahun sekatan, sempadan ditutup dan kuarantin wajib.

Antara langkah penting ialah pembukaan sempadannya mulai 8 Januari ini selepas ditutup sejak pandemik coronavirus bermula pada akhir 2019. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Luar negaraUtama

Paetongtarn Shinwatra Dipilih Sebagai PM Baharu Thailand

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular