Pengembara warga China positif COVID-19 ‘hilang’ sebelum dikuarantin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 22 Second

REUTERS
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan cuba mengesan seorang pengembara warga China yang disahkan positif COVID-19 semasa ketibaan tetapi hilang ketika menunggu di kemudahan kuarantin.

Menurut pegawai kesihatan, Kim Joo-young, individu itu diuji positif sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon semalam dan dipindahkan ke hotel berdekatan untuk menunggu kemasukan ke kuarantin, tetapi dilaporkan hilang.

“Individu yang tidak dikenal pasti itu diletakkan dalam senarai dikehendaki dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun, atau denda 10 juta won (RM34,500), jika disabitkan kesalahan melanggar Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit.

“Selain itu, orang berkenaan akan dihantar pulang dan dilarang memasuki negara ini untuk tempoh masa tertentu,” katanya.

Semalam, Korea Selatan mengumumkan ujian coronavirus mandatori ke atas ketibaan pelancong China selepas banyak negara melakukannya, berikutan kebimbangan terhadap gelombang jangkitan selepas Beijing menarik balik dasar sifar COVID yang ketat.

Mulai minggu ini, Korea Selatan memerlukan pengembara dari China menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) semasa ketibaan selepas kira-kira 2,189 orang sudah tiba dari China sejak 2 Januari lalu.

Setakat ini, daripada 590 keputusan ujian menunjukkan 136 orang atau 22.7 peratus dijangkiti COVID-19, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Semalam, 26 peratus daripada 281 orang yang diuji menunjukkan keputusan positif.

Sementara itu, kes kehilangan warga China itu mencetuskan persoalan di media mengenai sistem Korea Selatan untuk mengawal dan mengurus pelancong masuk yang dijangkiti.

Joo-young berkata pihaknya kesal kerana pihak berkuasa tidak dapat mengelak kejadian seperti itu, yang disifatkannya sebagai ‘memalukan’.

“Pada masa hadapan, kami akan menghantar lebih ramai anggota termasuk polis untuk mengelakkan perkara ini berulang,” katanya. – REUTERS

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *