Kerajaan peruntukkan RM54.05 juta kepada sekolah dan badan agama bukan Islam di Sabah – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan geran berjumlah RM54.05 juta kepada sekolah dan badan agama bukan Islam dalam Bajet tahun ini yang menandakan peningkatan sebanyak RM7.05 juta berbanding jumlah tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri amat peka dengan keperluan rakyat dan serius dalam membantu mereka tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya pada Majlis Penyerahan Kepala Singa kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah Sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2023 Anjuran Kerajaan Negeri Sabah di Magellan Sutera Resort and Spa di sini, hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Tahun ini, Kerajaan Negeri akan memberikan kepala singa bernilai RM1.5 juta diedarkan melalui kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen masing-masing.

“Penyampaian kepala singa kepada masyarakat Cina Sabah sempena sambutan Tahun Baru Cina menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk teruskan menyokong dan membantu masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan komited kepada dasar kesaksamaan dan keadilan dalam semua aspek.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa membantu rakyat berbilang kaum dan agama dalam memastikan mereka akan dapat meraikan sambutan masing-masing,” katanya.

Hajiji berharap bantuan itu akan menyemarakkan lagi semangat Tahun Baru Cina perayaan dan pada masa yang sama terus memupuk semangat setiakawan dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

“Sempena Tahun Baru ini, saya menyeru rakyat di negeri ini termasuk masyarakat kaum Cina untuk berganding bahu dengan Kerajaan untuk membangunkan negeri dan memastikan bahawa Sabah akan terus maju ke hadapan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *