HomeUtamaKerajaan setuju iktiraf JKR Sabah, Sarawak sebagai Jabatan Teknikal

Kerajaan setuju iktiraf JKR Sabah, Sarawak sebagai Jabatan Teknikal

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya, dengan pengiktirafan itu, JKR Sabah dan Sarawak diberi kuasa untuk mentadbir urus projek-projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini (semalam) telah bersetuju untuk mengiktiraf agensi teknikal di Sabah dan Sarawak dengan JKR Sabah dan Sarawak diiktiraf sebagai Jabatan Teknik,” katanya.

Fadillah berkata, kerajaan turut memberi komitmen untuk meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Sabah sebagai inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan persekutuan di Sabah dan Sarawak. 

Katanya, Projek Pan Borneo Sarawak kini sudah 91 peratus siap, manakala projek Pan Borneo Sabah sudah 73 peratus siap.

“Selain itu Kerajaan juga komited dalam meneruskan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang terbahagi kepada dua fasa iaitu SSLR Fasa 1 (Lawas-Persimpangan Long Lopeng) yang kini sudah 10 peratus siap dan SSLR Fasa 2 serta Lebuhraya Trans Borneo yang melibatkan Miri-Limbang-Lawas. 

“Trans Borneo akan dimulakan sebaik sahaja Kementerian Kerja Raya selesai melantik kontraktor yang dijangka akan dimuktamadkan pada 2024,” katanya.

Menurutnya, ini semua membuktikan komitmen dan kesungguhan tekad Kerajaan dalam menyelesaikan semua isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih lagi tertunggak dan memartabatkan MA63 serta memantapkan infra rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, siri rundingan terdahulu berkaitan MA63 diteruskan di peringkat pegawai untuk tindakan kementerian dan agensi, sebelum dibawa ke Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) atau Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan seperti dipersetujui Kabinet semalam.

Katanya, jemaah Menteri bersetuju memperkasakan Platform Perundingan Tertinggi sebagai Platform Agenda Tindakan Pelaksanaan MA63 (MKMA63) melalui MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri dan melibatkan Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah.

“Mesyuarat pertama dijadualkan pada Februari 2023 yang juga akan menjadi lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke-10 ke Sarawak.

“Bagi Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan saya sendiri, akan melihat dan meneruskan perbincangan dengan semua agensi serta memuktamadkan semua perkara yang belum diputuskan untuk di bawa ke MTPMA63. 

“Apa yang sudah dimuktamadkan ialah proses penyerahan kuasa kawal selia gas kepada Kerajaan Negeri Sabah yang sudah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 27 Disember 2022,” katanya.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pemilihan U Mobile Sebagai Pengendali 5G Kedua Undang Tanda Tanya, Pakar...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular