HomeUtamaJKNS siasat lebih 70 kes AGE di Tenom

JKNS siasat lebih 70 kes AGE di Tenom

Read Time:1 Minute, 58 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa kes Gastroenteritis Akut (AGE) yang dikesan di daerah Tenom melibatkan seramai 74 pesakit.

Pengarah JKNS Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, perkara itu dikesan selepas satu video tular di media sosial semalam yang mendakwa ramai warga Tenom mengalami gejala cirit-birit dan muntah.

“Semua pesakit yang terlibat adalah berusia antara satu hingga 65 tahun.  Berdasarkan data, pesakit mengalami gejala sakit perut (100 peratus), muntah (100 peratus), cirit-birit (20 peratus) dan demam (16 peratus).

“Masa bermula gejala terawal yang dikesan adalah pada 3 Januari. Kesemua kes telah mendapat rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar, iaitu 15 di fasiliti kesihatan kerajaan dan 59 orang di fasiliti swasta.

“Kesemua kes adalah dalam keadaan stabil dan terdapat juga kes yang telah sembuh. Faktor risiko penyebab kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dr Rose Nani berkata, hasil siasatan mendapati kes menetap di beberapa lokaliti yang berbeza dan siasatan juga mendapati terdapat kes yang menggunakan air yang tidak dimasak sebelum diminum.

Katanya, aktiviti kawalan yang telah dijalankan adalah siasatan kes, persampelan air di Loji Rawatan Air Senagang, SRO Kalang Dan Auxillary Amboi 1.

“Pemantauan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Tenom pada 5 Januari 2023 mendapati keadaan air di loji tersebut adalah jernih dan persampelan air mendapati tiada perlanggaran parameter kekeruhan, klorin, pH dan suhu.

“Ujian lanjut akan djalankan ke atas bekalan air dari loji untuk menentukan sama ada terdapat kehadiran kuman mikroorganisma atau tidak,” katanya.

Tambahnya, sampel najis pesakit yang dirawat di hospital juga telah diambil untuk ujian kuman mikroorganisma.

“Manakala sampel dari makanan yang dimakan oleh pesakit juga akan dijalankan ujian untuk mengesan kuman mikroorganisma,” katanya.

Sementara itu, Dr Rose Nani berkata, pendidikan kesihatan telah diberikan kepada semua pesakit yang datang ke fasiliti kesihatan swasta dan kerajaan.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah yang ditetapkan termasuklah menggunakan air minuman yang yang telah dimasak.

“Selain itu, sentiasa amalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan; masak makanan dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna.

“Simpan makanan pada suhu yang sesuai dan di tempat yang bersih,” katanya.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk mengamalkan Lihat. Hidu dan Rasa sebelum makan atau minum.

“JKNS akan sentiasa memantau kejadian AGE melalui survelan AGE di semua fasiliti kesihatan negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan negeri memperuntukan RM50.9 juta subsidi ICPT untuk pengguna elektrik Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular