Shahelmey tidak sokong tindakan UMNO BN Sabah tarik sokongan terhadap Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat Datuk Ir Shahelmey Yahya tegas dengan pendiriannya tidak menyokong tindakan yang dilakukan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah mengumumkan UMNO BN Sabah menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Malam tadi satu mesyuarat UMNO dan sidang media telah diadakan di bangunan Ibu Pejabat UMNO Sabah dipengerusikan oleh Datuk Seri Bung Moktar bersama beberapa ADUN lain namun Shahelmey tidak hadir dalam mesyuarat tersebut.

“Ya, saya tidak hadir disebabkan saya tidak menyokong gerakan yang dibuat oleh Datuk Seri Bung dan juga rakan-rakan kerana saya berpendapat bahawa ini bukan masanya yang sesuai untuk kita mentidakstabilkan kerajaan ataupun bertukar kerajaan,” tegas Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program SMART Jawab SPM 2022 untuk pelajar-pelajar Sekolah Menengah dalam Parlimen Putatan di Maktab Sabah, di sini hari ini.

Menurut Shahelmey, prestasi Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) adalah dalam satu prestasi yang agak baik dalam dua tahun kebelakangan ini, dengan terbukti pada dua tahun berturut-turut Kerajaan Negeri mempunyai peningkatan pendapatan, daripada bawah RM5 bilion sehinggalah RM6.6 bilion pada tahun lepas.

“Dan juga kita telah berjaya menarik pelabur dengan total pelaburan melebihi RM33 bilion, jadi kenapa kita hendak melakukan satu pertukaran kerajaan tanpa sebab-sebab yang konkrit?

“Ini mengakibatkan satu persepsi bahawa politik negeri tidak stabil dan ini akan menghindar pelabur-pelabur atau mengurangkan keyakinan para pelabur untuk datang melabur di negeri ini,” jelasnya.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, sebelum ini beliau sudah membuat siasatan bahawa rakyat tidak mahu perubahan kerajaan buat masa ini.

“Saya sudah membuat siasatan bahawa rakyat juga tidak inginkan perubahan kerajaan dalam masa sekarang, sekarang bukan masa untuk bermain politik.

“Sekarang masa untuk bekerja, untuk membangunkan ekonomi untuk memajukan negeri ini,” katanya.

Shahelmey turut berkata bahawa beliau sudah bersedia untuk dikenakan sebarang tindakan oleh pihak parti (UMNO) kerana tidak menyokong keputusan Bung.

“Ya, itu hak parti, terpulanglah kepada parti, saya sudah bersedia,” ujarnya.

Ketidakhadiran Shahelmey pada mesyuarat dan sidang media yang diadakan malam tadi, ini menguatkan lagi spekulasi beliau antara ADUN UMNO lain yang tidak menyokong tindakan Bung menarik sokongan terhadap kepimpinan Hajiji sebagai Ketua menteri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *