PH Sabah ulangi pendirian tidak sokong gerakan pintu belakang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah mengulangi pendiriannya, tidak bersetuju atau memberi sokongan kepada mana-mana pihak bagi melakukan gerakan menubuh sebuah kerajaan baharu melalui pintu belakang.

Menerusi kenyataan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH Sabah hari ini, mereka mengambil pendirian untuk mengutamakan kestabilan politik, ekonomi dan kebajikan rakyat Sabah, bukan jawatan serta kuasa.

“Kami ingin memaklumkan bahawa PH Sabah tidak pernah setuju ataupun memberi sokongan kepada mana-mana pihak bagi menjalankan gerakan (move) untuk menubuh sebuah kerajaan baharu melalui pintu belakang,” kata kenyataan itu.

ADUN Sabah daripada PH, terdiri daripada Datuk Christina Liew (DUN Api-Api – PKR); Datuk Frankie Poon Fung Ming (Tanjung Papat – DAP), Datuk Ewon Benedick (Kadamaian-UPKO), Phoong Jin Zhe (Luyang-DAP), Jannie Lasimbang (Kepayan-DAP), Tan Lee Fatt (Likas-DAP) dan Peto Galim (Inanam-PKR).

Kenyataan itu menyusul bagi menyangkal satu artikel berita sebuah akhbar yang melaporkan PH Sabah melakukan pusingan U berhubung gerakan menyingkirkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

PH Sabah menjelaskan sumber yang dipetik berita itu membuat dakwaan yang tidak benar dan menyiarkan kandungan berbaur fitnah dengan tujuan memburukkan nama parti itu.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan majoriti 40 kerusi. Ketika ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Hajiji, mempunyai 32 kerusi, turut disokong lima ADUN daripada UMNO.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang mengumumkan menarik balik sokongan terhadap kepemimpinan Hajiji malam tadi, mempunyai sokongan 13 ADUN UMNO, manakala WARISAN yang diketuai oleh Datuk Seri Shafie Apdal mempunyai 19 kerusi, manakala KDM diketuai Datuk Peter Anthony mempunyai 3 kerusi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *