KOTA KINABALU : Istana Seri Kinabalu terus menjadi tumpuan susulan kemelut pergolakan politik yang berlaku di negeri ini.
Sehingga jam 3 petang tadi, tinjauan Sabah Media di sini mendapati pengamal media sudah mula berkumpul di luar pintu gerbang Istana Seri Kinabalu seawal jam 11 pagi.
Ia susulan selepas Barisan Nasional (BN) Sabah menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk menerajui Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun, seramai lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sabah kekal dengan pendirian untuk memberi sokongan kepada Hajiji untuk menerajui Kerajaan Negeri.
Antaranya ialah ADUN Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya; Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Dr Yusuf Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).
Semalam, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin membuat pengumuman UMNO dan BN Sabah menamatkan kerjasama membentuk kerajaan negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.
Katanya, keputusan sebulat suara pemimpin UMNO Sabah itu dibuat selepas mengambil kira tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memecat Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah dan mengugut dengan mengumumkan rombakan Kabinet negeri.
Menurutnya, Hajiji sudah melanggar persefahaman yang dibuat di antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dibuat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.
“Kami sudah hilang kepercayaan dan selepas Hajiji keluar daripada BERSATU, kami bincang dengan beberapa peguam yang memaklumkan bahawa Hajiji hilang ‘locus standi’ dan tiada layak menjadi Ketua Menteri,” katanya.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Masidi Manjun menafikan dakwaan kononnya Hajiji tidak mempunyai ‘locus standi’ (hak berdiri) untuk menjadi Ketua Menteri Sabah.
Katanya, perkara itu juga dilihat tidak mempunyai merit bagi memperkuatkan kepada dakwaan berkenaan.
“Ini adalah bagi menjawab kenyataan media oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin yang cuba menimbulkan keraguan dan kekeliruan terhadap kesahihan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dimana dinyatakan bahawa Datuk Seri Hajiji tidak layak menjadi Ketua Menteri di bawah Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.
“Perkara 6(7) berbunyi iaitu ‘Bagi maksud Fasal (3) Perkara ini, di mana parti politik telah memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan yang dipilih dalam pilihan raya umum, ketua parti politik itu, yang merupakan ahli Dewan Undangan, hendaklah menjadi ahli Dewan Undangan yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan’,” katanya.
Menurut sumber, ADUN-ADUN dijangka akan dipanggil ke Istana Seri Kinabalu untuk bertemu Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan bila pertemuan itu akan dilaksanakan selain tujuan ADUN-ADUN terlibat dipanggil ke Istana Seri Kinabalu.
Pada ketika ini Kerajaan Sabah ditunjangi GRS-BN atau disebut Kerajaan GRS-BN dengan 46 kerusi, selain turut disokong PH Sabah sejajar pembentukan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan yang ditunjangi PH.
GRS yang merangkumi bekas ADUN BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) mempunyai 29 ADUN, termasuk tiga ADUN Dilantik.
BN pula mempunyai 17 ADUN termasuk dua ADUN Dilantik, manakala PH mempunyai tujuh ADUN, iaitu masing-masing empat DAP, diikuti dua PKR dan seorang ADUN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Selain itu, seorang ADUN Bebas (Kuamut) dan seorang ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) sebelum ini turut menyatakan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Hajiji. – SABAH MEDIA