HomeUtamaKerja pembaikan, penyelenggaraan jalan terputus di Ranau dijangka ambil masa dua minggu

Kerja pembaikan, penyelenggaraan jalan terputus di Ranau dijangka ambil masa dua minggu

Read Time:1 Minute, 20 Second

RANAU : Kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan jalan utama Ranau-Sandakan yang terputus di kawasan Riverside Mart Rabu lalu dijangka akan mengambil masa dua minggu bermula 6 Januari lalu.

Pegawai Daerah Ranau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jumain Abdul Ghani berkata, pihak konsesi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah kini dalam proses untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan.

“Status bagi laluan alternatif SIB Gereja telah dibuka sepenuhnya pada 5 Jan lalu bermula jam 7 malam.

“Pemandu dari arah Sandakan dibenarkan untuk menggunakan laluan tersebut menuju ke Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Jumain berkata, kerja pelebaran jalan di laluan alternatif Kampung Sinarut Baru – Kampung Tagudon Baru masih diteruskan dimana pihak konsesi akan melaksanakan kerja-kerja tersebut pada waktu malam sahaja.

Katanya, ia bagi mengelakkan jalan yang sesak pada siang hari dan kecepatan kerja juga bergantung dengan keadaan cuaca semasa.

Dalam pada itu, Jumain berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Ranau ditutup semalam.

Katanya, hasil tinjuan Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati paras air sungai kini berada di paras normal dan semua lokasi yang terkesan akibat banjir pada 4 Januari lalu serta melibatkan pemindahan penduduk telah pulih.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Ranau mengistiharkan penutupan Pusat Pemindahan Sementara Dewan Serbaguna IPD Ranau pada jam 8 pagi pada hari ini (semalam).

“Semua penduduk yang berada di PPS pada ketika ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Katanya, penduduk adalah diminta untuk bersabar dalam keadaan yang mencabar pada ketika ini dan menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana Ranau di talian 088-870519 atau 019-8103962 sekiranya berlaku kecemasan di kawasan masing-masing. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pantau projek pemasangan menara telekomunikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular