DUN Sabah : Pengambilalihan kuasa kawal selia tenaga Sabah dilaksanakan secara dua fasa

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU : Pengambilalihan kuasa kawal selia sektor tenaga negeri Sabah menerusi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Tenaga (ST) Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini akan dilaksanakan secara dua fasa.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia selepas mendapat kelulusan secara prinsip daripada jemaah menteri Sabah pada 2 November lalu mengenai pelan tindakan dan garis masa pengambilalihan kuasa kawal selia sektor tenaga negeri Sabah.

“Pengambil kuasa kawal selia bermula dengan fasa pertama pada bulan ini yang melibatkan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan gas yang pada masa ini di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan melalui Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi gas) dan Akta Bekalan Gas 1997.

“Manakala bagi fasa kedua pula dirancang Kerajaan Negeri pada April 2023 melibatkan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu yang pada masa ini di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan melalui Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi elektrik), Akta Bekalan Elektrik 1990, Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011, dan Akta Tenaga Boleh Baharu 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU berkenaan pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Hajiji berkata, perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan iaitu penggantungan Akta Bekalan Gas 1997 dan Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi gas) telah diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri  pada 21 Disember lalu.

Katanya, perintah tersebut telah diperkenan oleh Yang di Pertuan Agong pada 27 Disember        2022 dan berkuat kuasa pada 10 Januari 2023 iaitu pada hari ini (10 Januari).

“Selari dengan penguatkuasaan perintah tersebut, RUU bagi Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 hendaklah dibentangkan di DUN Sabah pada hari ini bagi memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk mengambil alih kuasa kawal selia sektor tenaga khususnya bekalan gas.

“RUU ini bertujuan untuk mewujudkan Suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Tenaga Sabah. Setelah diluluskan, Suruhanjaya ini akan dikenali sebagai “Energy Commission of Sabah” dengan nama singkatan ECoS.

RUU yang mengandungi enam bahagian dan 43 fasal itu kemudiannya diluluskan sebulat suara selepas dibahas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Antaranya ADUN yang membahaskan ialah Datuk Annuar Ayub (GRS-Liawan); Datuk Yong Teck Lee (GRS-Dilantik); Datuk Ewon Benedick (PH-Kadamaian) dan Datuk Dr Yusof Yacob (BN-Sindumin). – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *