HomeUtamaProgram Pemantapan Kawad Kecekapan Organisasi Keselamatan perlu diperluaskan - Hajiji

Program Pemantapan Kawad Kecekapan Organisasi Keselamatan perlu diperluaskan – Hajiji

Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Program Pemantapan Kawad Kecekapan Organisasi Keselamatan Kebakaran perlu diperluaskan di semua syarikat dan jabatan serta agensi kerajaan di
negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ini katanya bagi memastikan setiap warga kerja sekurang-kurangnya mempunyai asas pengetahuan tentang mencegah dan mengawal kebakaran.

Beliau berkata, Program Pemantapan Kawad yang dianjurkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah adalah satu lagi usaha untuk memperkukuhkan pasukan Organisasi Keselamatan Kebakaran atau OKK dalam aspek keselamatan di premis masing-masing.

“Saya melihat program ini sangat baik dan setiap institusi ada keperluan untuk terlibat dalam memperkukuhkan aspek keselamatan kebakaran di premis masing-masing. Latihan yang diperolehi menerusi program ini memberi pendedahan kepada ahli pasukan dalam menghadapi situasi kecemasan yang sebenar.

“Kita sebagai penghuni yang bertanggungjawab ke atas premis seharusnya perlu ambil tahu bahawa latihan dan kemahiran memadam kebakaran serta penyelamatan mangsa merupakan latihan penting yang perlu diterapkan kepada setiap warga kerja terutama ahli-ahli pasukan OKK yang sedia ada di premis masing-masing.

“Pekerja atau kakitangan yang dilatih dengan kaedah mencegah dan berhadapan dengan bencana kebakaran membolehkan mereka dapat menjalankan kerja secara sistematik, selamat dan effisyen.

Sudah tentu, dengan adanya pengetahuan ini sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan dan mengawal jumlah kemalangan serta kerugian harta benda daripada meningkat terutamanya di premis dan bangunan berisiko,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan dan Makan Malam
Sempena Latihan Pemantapan Kawad Kecekapan Organisasi Keselamatan Kebakaran 2023 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato’ Sri Ts. Mohammad Hamdan bin Hj Wahid.

Ketua Menteri yakin dengan sokongan padu daripada JBPM Sabah, usaha pembudayaan keselamatan kebakaran ini akan terus dipertingkatkan kepada warga kerja di negeri ini.

“Dengan pengalaman dan latihan seperti ini akan membolehkan semua warga kerja bersedia untuk memikul tanggungjawab membantu anggota bomba melaksanakan
sebarang aktiviti kesedaran kesiapsiagaan awam dalam menghadapi sebarang kecemasan dan bencana.

“Sebab itu amat penting amalan membudayakan keselamatan dan kesihatan
pekerjaan di tempat kerja perlu diterapkan pada setiap individu. Ini untuk memastikan
kita dapat mengurangkan risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti kebakaran atau kemalangan yang mengakibatkan kemusnahan harta benda atau hilang upaya kekal atau sebagainya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular