HomeUtamaRombakan Kabinet untuk pastikan usaha bangunkan negeri berjalan lancar

Rombakan Kabinet untuk pastikan usaha bangunkan negeri berjalan lancar

Read Time:1 Minute, 26 Second

Oleh : Erdie Ab Wahid / Normimie Diun / Nurul Fadzilah Noordin

KOTA KINABALU : Rombakan Kabinet Sabah yang diumumkan hari ini merupakan sesuatu yang perlu dan bertujuan untuk mengukuhkan Kerajaan Negeri sekarang selain memerlukan satu pasukan yang kuat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berikutan itu beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) turut dilantik dalam Kabinet bagi membentuk sebuah pentadbiran yang inklusif.

Katanya, ia merupakan tambahan kepada wakil dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Adalah penting bagi Kerajaan Negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi yang sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati.

“Kerajaan Negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang punya iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat.

“Kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Hajiji hadir menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri Negeri di Istana Seri Kinabalu pagi tadi.

Antara yang mengangkat sumpah ialah ADUN Sugut Datuk James Ratib (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejateraan Rakyat); ADUN Api-Api Datuk Christina Liew (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar) dan ADUN Luyang Ginger Phoong Jin Zhe (Menteri Pembangunan Perindustrian).

Majlis Angkat Sumpah Jawatan dibuat di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Kunjungan Istana Seri Kinabalu, di sini

Hajiji berkata, pihaknya akan memastikan pelaburan dinamik kerajaan negeri dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan lagi keyakinan pelabur di samping dapat menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah.

“Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

40 peratus hasil Sabah: Pendapat pelbagai versi disifatkan membelakang pimpinan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular