HomeUtamaShahelmey mahu beri fokus, laksana kepada tugas baharu

Shahelmey mahu beri fokus, laksana kepada tugas baharu

Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh : Erdie Ab Wahid / Normimie Diun / Nurul Fadzilah Noordin

KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya akan memberi fokus kepada tugas baharu yang diamanahkan menerusi rombakan Kabinet Negeri yang diumumkan pada hari ini.

Beliau yang turut dilantik sebagai Menteri Kerja Raya bagi menggantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tugas yang diberikan itu perlu dilaksanakan sebaiknya sebelum tempoh Kerajaan berakhir.

“InsyaAllah apa yang berlaku hari ini dapat meredakan keadaan.  Saya akan fokus kerja dalam dua tahun lebih lagilah sebelum tempoh berakhir.

“Ini merupakan tugasan yang lebih berat memandangkan Kementerian ini adalah Kementerian yang besar dan sebagaimana kita ketahui banyak isu-isu yang sedang atau perlu ditangani dan diselesaikan seperti jalan raya air dan sebagainya.

“Esok pagi saya akan terima taklimat daripada kementerian dan dari situ kita akan bergerak,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri Negeri di Istana Seri Kinabalu pagi tadi.

Antara yang mengangkat sumpah ialah ADUN Sugut Datuk James Ratib (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejateraan Rakyat); ADUN Api-Api Datuk Christina Liew (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar) dan ADUN Luyang Ginger Phoong Jin Zhe (Menteri Pembangunan Perindustrian).

Majlis Angkat Sumpah Jawatan dibuat di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Kunjungan Istana Seri Kinabalu, di sini 

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, beliau kini masih lagi menjadi ahli UMNO.

“Saya masih lagi ahli UMNO sehingga kini dan belum menerima sebarang berita daripada pengurusan parti.  Saya juga akan bertemu dengan Presiden parti sebentar ketika beliau berkunjung ke Sri Gaya baru-baru ini dan tiada apa-apa cuma bersalaman dan mengangguk,” katanya.

Ketika ditanya ketidak hadiran ke Perhimpunan Agung UMNO, Shahelmey berkata beliau bukan perwakilan dan mahu memberi tumpuan kepada portfolio baharu ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai saranan Perdana Menteri berhubung Kerajaan Perpaduan, Shahelmey berkata, ini merupakan satu daripada formula Kerajaan Perpaduan menerusi rombakan Kabinet yang baharu diumumkan.

Katanya, menerusi Kabinet ini, tiga muka baharu dimasukkan iaitu dua daripada Pakatan Harapan (PH) dan satu Barisan Nasional (BN).

“Sudah tentu Warisan dan satu kumpulan yang telah adakan penentangan terhadap (Datuk Seri) Hajiji sebagai Ketua Menteri, itu memang kita telah persetujui bersama bahawa kita tidak akan menerima mereka jadi mereka kena terima hakikat ‘cooling off’ jadilah pembangkang yang membina dan sama-sama kita tumpukan urusan membangunkan negeri Sabah dulu.

“Bila tiba masanya, penggal tamat jadi kita beri mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan,” katanya.

Terdahulu, Shahelmey sebelum ini menjawat jawatan sebagai Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat yang kini dipegang Datuk James Ratib. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

40 peratus hasil Sabah: Pendapat pelbagai versi disifatkan membelakang pimpinan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular