Semua pihak perlu beri sokongan kepada kepimpinan Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh : Erdie Ab Wahid / Normimie Diun / Nurul Fadzilah Noordin

KOTA KINABALU : Semua pihak perlu memberi sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus memimpin Sabah dalam membawa pembangunan kepada negeri ini khusus rakyat Sabah.

Menteri Pembangunan Perindustrian Phoong Jin Zie berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama pemimpin politik Sabah Isnin lalu turut memberi sokongan dan keyakinan kepada Ketua Menteri untuk mentadbir Sabah.

“Apabila kita bertemu sangat ringkas (dengan Perdana Menteri) di kediaman rasmi Ketua Menteri, beliau memaklumkan bahawa tiada masalah untuk meletakkan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Hajiji untuk memimpin Sabah.

“Ini adalah keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri, kita kena akui dan hormati.  Dengan sokongan khususnya sokongan tujuh wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), saya rasa Sabah akan terus stabil.

“Pada masa sama, ia lebih inklusif kerana ada beberapa wakil dari pelbagai kaum termasuk saya cina.  Saya berasa bangga kerana dapat dimasukkan dalam Kabinet, bukan sahaja mewakili kaum cina tetapi untuk semua rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri Negeri di Istana Seri Kinabalu pagi tadi.

Jin Zie mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Kunjungan Istana Seri Kinabalu, di sini.

Turut mengangkat sumpah ADUN Sugut Datuk James Ratib (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat) dan ADUN Api-Api Datuk Christina Liew (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar).

Dalam perkembangan lain, James yang dilantik memegang portfolio Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat berkata, beliau akan melaksanakan tugas dengan terbaik.

“Sudah tentu saya akan laksanakan tugas dengan terbaik.  Seperti mana di Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, saya sudah ada sedikit pengalaman sebagai Pembantu Menteri disitu selama dua tahun lebih.

James menerima watikah pelantikan jawatan daripada Tun Juhar – Foto BERNAMA

“InsyaAllah di Kementerian baharu ini nanti saya akan tengok dan saya fokus untuk pembangunan kepada Sabah khususnya di kawasan-kawasan yang masih mempunyai kadar kemiskinan tegar,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *