Empat Ahli Parlimen GRS maklum tidak berlaku kekosongan kerusi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU : Empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu disahkan tidak perlu untuk mengosongkan kerusi yang dimenangi.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali menerusi laporan sebuah portal tempatan di sini hari ini.

Menurutnya, satu salinan email telah diterima dari Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang dihantar kepada Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee berhubung status mereka selepas keluar parti, baru-baru ini.

“Saya telah menerima satu salinan email dimana surat bertarikh 16 Januari daripada speaker itu sebagai jawapan kepada Ronald dan SK (salinan kepada) kepada kami (empat Ahli Parlimen GRS).

“Keputusannya saya tidak mahu ulas panjang sebab surat itu hanya SK kepada kami, tetapi (keputusan) secara asasnya kami tidak perlu mengosongkan kerusi,” katanya kepada FMT.

Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) enggan mengulas lanjut mengenai keputusan berkenaan.

“Buat masa ini saya tidak mahu beri komen kerana surat tersebut adalah jawapan kepada Ronald kecuali kalau Speaker buat kenyataan terbuka baru saya akan komen,” katanya.

Selain Armizan, tiga lagi Ahli Parlimen berkenaan ialah Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Sementara itu, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah mengakui beliau turut menerima salinan surat dari Speaker Dewan Rakyat yang dihantar kepada Naib Presiden BERSATU Datuk Seri Dr Roland Kiandee.

“Saya menerima salinan surat dari Speaker Dewan Rakyat yang dihantar kepada (YB)Datuk Seri Dr Roland Kiandee yang menyatakan dan memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Perkara sama turut dinyatakan Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin yang menyatakan semua Ahli Parlimen GRS telah menjadi ahli GRS sebelum penamaan calon.

“Keputusan Speaker ialah empat kerusi Ahli Parlimen yang terlibat tidak perlu mengosongkan kerusi kerana empat MP (Ahli Parlimen) telahpun menjadi ahli Parti GRS sebelum penamaan calon,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Batu Sapi Khairul Firdaus Akbar Khan hanya meminta agar semua mendoakan yang terbaik.”Doa yang baik-baik saja,” katanya ringkas.

Terdahulu, pada 10 Disember lalu, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan kesemua pimpinan tinggi Bersatu Sabah keluar parti, termasuk empat Ahli Parlimen itu.

Katanya, ini kerana Bersatu di peringkat Persekutuan merupakan pembangkang manakala GRS telah menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berikutan itu, Bersatu telah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memastikan bahawa telah berlaku kekosongan ‘luar jangka’ membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah yang didakwa ditandingi sebagai ahli Bersatu. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *