Bekalan air bersih kawasan KK Selatan dan Putatan kembali pulih – Shahelmey

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 49 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Penduduk sekitar kawasan Kota Kinabalu Selatan dan Daerah putatan kini dapat menarik nafas lega kerana telah kembali mendapat bekalan air bersih sejak kelmarin.

Masalah bekalan air yang dihadapi berikutan minggu lalu apabila berlaku kerja-kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air Moyog yang telah memberi kesan agak serius mengenai bekalan air kepada penduduk sekitar Putatan dan Kota Kinabalu Selatan.

Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, beliau difahamkan bermula semalam dan juga hingga hari ini tekanan ataupun bekalan air telah kembali pulih di kawasan terjejas berkenaan. Bagaimanapun tekanan air masih dalam keadaan yang rendah kerana jumlah permintaan masih melebihi jumlah yang dapat dibekalkan.

“Oleh sebab itu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) masih melaksanakan program catuan bekalan air secara berjadual untuk memastikan bahawa kawasan-kawasan yang dibekalkan air akan mendapat bekalan air dalam tempoh sehari.

“Saya telah mendapat maklum balas daripada masyarakat di Putatan, Taman Desa Ketiau, Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Keramat, sekolah-sekolah dan juga kampung-kampung, Kg Contoh dan Kg Pasir Putih ,dua tiga hari lepas, ramai yang mengadu, merayu tentang bekalan air.

“Alhamdulillah bermula kelmarin dan sehingga hari ini saya dimaklumkam rumah mereka dapat bekalan air dan telah kembali pulih, bagaimanapun saya perlu tekankan di sini, tekanan air masih rendah dan Jabatan Air sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa penduduk mendapat bekalan air bersih dalam kehidupan seharian,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di kawasan perumahan yang terjejas dan Loji Rawatan Air Moyog dekat sini, hari ini.

Shahelmey (tiga kanan) bersama pegawai Jabatan Air Negeri Sabah dan kakitangan Jetama Sdn Bhd melawat Loji Rawatan Air Moyog di sini, hari ini.

Loji Rawatan Air Moyog adalah milik Jetama Sdn Bhd iaitu anak syarikat Sabah Development Berhad di bawah Kementerian Kewangan Sabah.

Dalam siri lawatan itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah III telah diberi taklimat mengenai kapasiti produksi air yang dapat dihasilkan di loji Rawatan Air Moyog dan Kasigui.

“Saya mendapat taklimat dan dimaklumkan bahawa kapasiti produksi air di loji ini (Moyog) sebanyak 185 juta liter sehari ditambah dengan loji di Kasigui maka mereka boleh menghasilkan 235 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada penduduk atau pengguna di kawasan Kota Kinabalu Selatan dan juga Putatan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *