438 barang kes Op Daulat diserah kepada Muzium PDRM Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 47 Second

BERNAMA

LAHAD DATU: Sebanyak 438 barang kes Op Daulat pada 2013 milik kumpulan pengganas Sulu diserah kepada Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah hari ini untuk disimpan sebagai bahan peninggalan sejarah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata barang kes itu termasuk 56 pelbagai jenis senjata api dan peluru, 48 bilah pisau dan parang, 95 item dokumen merangkumi pengenalan diri, risalah dan surat serta 110 item lain.

“Sebelum ini Jabatan Siasatan Jenayah menerusi Jabatan Peguam Negara mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan agar semua rampasan eksibit dan barang kes Op Daulat diserahkan kepada PDRM untuk simpanan bahan sejarah.

“Keputusan panel hakim Mahkamah Persekutuan bersidang pada 15 Jan 2018 membenarkan permohonan itu yang melibatkan 812 eksibit dan barang kes Op Daulat, iaitu 329 barang kes seperti pakaian, alat perhubungan dan spesimen dilupuskan secara kekal manakala 438 barang kes disimpan di Muzium PDRM Sabah,” katanya kepada pemberita selepas pelupusan dan penyerahan barang kes itu di sini hari ini.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Zaini Jass hadir menyaksikan penyerahan barang kes Op Daulat oleh Abdul Jalil kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun selaku wakil Muzium PDRM Sabah.

Selain itu, Abdul Jalil berkata wang Peso bernilai 341,000 (RM27,000) turut diserahkan kepada Jabatan Perbendaharaan Negara seperti arahan Mahkamah Majistret Lahad Datu pada 13 April 2013.

Sementara itu, Jauteh berkata kerajaan Sabah memberi dua peruntukan iaitu kepada Muzium PDRM Sabah dan membina tugu peringatan Op Daulat.

“Kerajaan negeri memperuntukan RM1 juta untuk muzium yang terletak di kawasan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sabah, Kota Kinabalu, bangunan ini dibina sejak zaman penjajahan British pada 1953, di samping kerajaan negeri juga memperuntukan RM150,000 untuk pembinaan tugu berkenaan di Tanduo,” katanya.

Jauteh berkata kedua-dua projek itu sedang dilaksanakan dan diharapkan dapat disiapkan pada Mac ini, sempena 10 tahun peringatan peristiwa itu.

Pada 12 Feb 2013, lebih 200 pengganas Sulu yang memperkenalkan diri sebagai Royal Sulu Force (RSF) menceroboh secara berperingkat dari Pulau Simunul, Pulau Sibutu dan Pulau Sipangkut di Selatan Filipina ke Kampung Tanduo di sini.

Kemuncak pencerobohan berlaku dengan kejadian tembakan pada 1 Mac 2013 antara pasukan keselamatan dengan RSF di Tanduo. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *