Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah bercadang untuk mewujudkan sebuah Pusat Sains Sabah (PSS) bagi menarik minat golongan pelajar meminati bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Menterinya, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, beberapa lokasi telah dikenal pasti khususnya di sekitar ibu negeri bagi tujuan pembinaan bangunan PSS tersebut.
“Pada tahun ini kita akan berusaha untuk mewujudkan sebuah Pusat Sains Sabah dimana kita mahu menarik minat dan mendekatkan masyarakat khasnya pelajar untuk meminati bidang STI yang dahulunya ditakuti para pelajar.
“Ini juga antara peranan Kementerian agar bidang STI ini akan lebih mesra kepada masyarakat untuk dipelajari. Sebelum ini juga pihak kementerian telah mengadakan beberpa siri jelajah ke sekolah seluruh Sabah bagi bertemu para pendidik agar anak-anak ini lebih cinta, mesra dan tidak takut untuk mempelajari Sains dan Teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima taklimat mengenai KSTI di Wisma Bandaraya di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Tetap KSTI Datuk Zainudin Aman.
Mohd Arifin berkata, cadangan lokasi di ibu negeri itu juga penting bagi membolehkan orang ramai khususnya pelancong mengunjungi pusat berkenaan.
“Apa yang lebih penting, buat masa ini lokasi pusat ini adalah di ibu kota iaitu Kota Kinabalu dimana orang ramai khususnya pelancong akan dapat berkunjung melihat selain ia dapat menjadi satu pusat destinasi pelancongan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Arifin berkata, Pelan Strategik KSTI 2022-2025 yang telah dirangka sebelum ini telah berjaya memperkasa program-program yang dirancang bagi tempoh empat tahun akan datang.
Katanya, ia adalah bagi memenuhi matlamat Sabah untuk menjadikan sebuah negeri yang berteknologi tinggi selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pelan strategik ini adalah panduan dalam penetapan hala tuju dalam melahirkan masyarakat yang berkemahiran, mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi digital dan melahirkan masyarakat intelek, kreatif dan inovatif melalui perancangan dan pelaksanaan program pembangunan sumber manusia selaras dengan keperluan industri di Sabah.,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada bekas Menteri terdahulu Datuk Yakub Khan dan akan meneruskan segala perancangan yang telah dirancang dan akan dilaksanakan oleh KSTI.
“KSTI bukan sahaja menjaga hal ehwal berkaitan STI tetapi turut menyelaras isu-isu mengenai capaian Internet dan telekomunikasi, usahawan kreatif dan sosial serta modal insan,” katanya. – SABAH MEDIA