HomeEkonomiAgrobank lancar Kempen Huat Ah sempena perayaan Tahun Baharu Cina

Agrobank lancar Kempen Huat Ah sempena perayaan Tahun Baharu Cina

Read Time:3 Minute, 24 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang, Agrobank hari ini telah melancarkan Kempen Huat Ah bertujuan untuk memupuk pengurusan kewangan yang baik menerusi perkhidmatan penyimpanan di Agrobank.

Pelancaran kempen tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin yang berlangsung di Ballroom Pan Pasific Sutera di sini, hari ini.

Kempen Huat Ah ini mengetengahkan dua mini kempen iaitu (i) Kempen Menang Angpau RM888 – Deposit Bonanza dan (ii) Kempen Extravaganza FRIA-i yang merupakan antara inisiatif Agrobank untuk memupuk budaya bijak berbelanja.

Ini bagi menggalakkan amalan menyimpan, pelanggan boleh menjana keuntungan menerusi simpanan berjangka dengan kadar keuntungan yang kompetatif iaitu 4.25% bagi tempoh dua belas bulan menerusi Kempen Extravaganza FRIA-i dan akaun simpanan melalui Kempen Menang Angpau RM888 – Deposit Bonanza.

Pengerusi Agrobank, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, Agrobank sentiasa memberikan galakan dan bimbingan kepada pelanggan dan pemegang taruh khususnya dalam menguruskan kewangan kerana pengurusan kewangan yang baik dapat membantu dalam menjana pendapatan dan memantau aliran tunai perniagaan.

“ Ini adalah kempen yang pertama kali diadakan diperingkat nasional dan dilancarkan di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Kempen Huat Ah.

Menurut Yunos, Huat bermaksud ‘kemakmuran’ Agrobank percaya bahawa pelanggan mempunyai keazaman
untuk mempunyai kemakmuran dalam kewangan dan ‘kebebasan kewangan’ (financial freedom) bagi menjamin masa hadapan yang lebih baik.

“Menyedari tentang pentingnya usaha ini, Agrobank memperkenalkan Kempen Huat Ah khusus untuk menggalakkan pelanggan untuk
menyimpan menerusi simpanan berjangka di Agrobank,” tambahnya.

Dalam pada itu, menurut Chan, perkhidmatan Agrobank tidak hanya terhad kepada pembiayaan bagi memacu sektor agromakanan, ia juga meliputi pelbagai produk konsumer yang lain seperti simpanan berjangka, takaful, pengurusan wasiat dan
lain-lain.

“Golongan B40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan antara yang mudah terkesan dengan sebarang impak oleh ketidaktentuan ekonomi, oleh itu, inisiatif Agrobank menerusi Kempen Huat Ah ini adalah bertepatan bagi memupuk budaya menyimpan dalam kalangan masyarakat kita,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen tersebut.

Sementara itu, pada sidang media yang sama, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, banyak peluang mengenai pertanian di Sabah kerana negeri ini banyak tanah dan sebuah tempat lebih kepada sektor pertanian yang boleh perbesarkan lagi.

“Justeru itu, kami menyahut seruan Yang Berhormat Timbalan Menteri yang juga berasal dari Sabah sendiri untuk lebih aktif lagi membuka peluang dan ruang kepada peniaga-peniaga , petani, penternak dan nelayan di Sabah untuk memberikan peruntukan pinjaman yang saya rasa agak kompetitif yang disalurkan daripada kerajaan berbanding dengan komersial.

“Kami ingin menggalakkan pertumbuhan pertanian dan agromakanan di Sabah sendiri terutamanya menggunakan mekanisasi dan automasi seperti yang disarankan Timbalan Menteri dan YB juga ada menyebut semalam untuk memperkasakan lagi usahawan muda, jadi kami memperuntukan pinjaman untuk usahawan muda sebanyak RM10 juta dengan kadar yang rendah iaitu serendah tiga peratus setahun dengan pinjaman jangka masa 10 tahun.

“Ini adalah untuk menggalakkan lagi bidang pertanian dan agromakanan daripada generasi muda yang saya rasa mereka juga berminat untuk menceburi bidang pertanian ini kerana salah satu daripadanya memberi pendapatan lumayan kepada pengusaha-pengusaha selain untuk keterjaminan makanan kepada negara,” katanya.

Chan (kiri) bersama Yunos dan Tengku Ahmad semasa menyerahkan ang pau kepada 40 pelajar sekolah pada Majlis Pelancaran Kempen Huat Ah di Ballroom Pan Pasific Sutera di Kota Kinabalu hari ini.

Dalam majlis sama, Agrobank telah menyerahkan sumbangan kepada Comfort Aged Care Centre berjumlah RM5,000.00 dan ang pau RM100 seorang kepada 15 warga tua.

Manakala Agrobank juga turut menyerahkan sumbangan ang pau berjumlah RM100 seorang kepada 40 pelajar sekolah yang memerlukan.

Terdahulu, Agrobank telah menganjurkan program ’Huat Ah Shopping Spree’, sebuah inisiatif julung kalinya diadakan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan untuk meringankan beban pelajar-pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina daripada latar belakang keluarga B40 di sekitar Kota Kinabalu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Turut hadir pada majlis pelancaran Kempen Huat Ah ialah Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Dasar), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Abszra Davadason Peter.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen Huat Ah, sila layari laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau hubungi pusat perkhidmatan pelanggan di 1-300-88-2476 atau terus berkunjung ke cawangan terdekat Agrobank.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular