HomeUtamaPelan Strategik KUSKOP 2023 dilancarkan

Pelan Strategik KUSKOP 2023 dilancarkan

Read Time:1 Minute, 39 Second

KUALA LUMPUR: Pelan Strategik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi tahun ini telah dilancarkan di Dewan Menara Bank Rakyat di sini semalam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Pelan Strategik bertemakan ‘Berdaya Maju, Transformatif dan Responsif’ itu mensasarkan tiga objektif utama.

Katanya, antaranya iaitu menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menyokong dan memacu pemulihan, pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan negara serta mempertingkatkan daya tahan dan daya saing usahawan pasca pandemik.

Selain itu katanya ia juga memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan keusahawanan yang fasilitatif dan efektif.

“Bagi merealisasi objektif yang disasarkan, lima teras strategik, 24 strategi dan 185 program atau projek telah dirangka.

“Ia merangkumi penggubalan dasar, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan kapasiti, akses pembiayaan, akses pasaran, adaptasi teknologi dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Ewon berkata, sebanyak enam KPI telah ditetapkan dan perlu dicapai di bawah pelaksanaan Pelan Strategik itu. “Pelaksanaan kesemua program atau projek yang dirancang akan memanfaatkan 543,080 individu usahawan dan bakal usahawan.

“Saya yakin, pendekatan yang dirangka di bawah halatuju strategik ini akan menzahirkan usahawan yang lebih cekal, berdaya maju, proaktif, kompetitif dan inovatif serta berupaya menampan situasi di luar jangkaan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, antara fokus utama dalam pelaksanaan dan penentuan kumpulan sasar melalui inisiatif pembangunan keusahawanan di bawah Pelan Strategik ialah peningkatan adaptasi teknologi dan pendigitalan dalam kalangan usahawan dan koperasi.

“Kemajuan teknologi dalam beberapa dekad yang lalu banyak meningkatkan daya saing dalam perniagaan dan ekonomi di seluruh dunia. “Sehubungan itu, Kementerian dan Agensi harus memastikan perkara ini diutamakan dalam pelaksanaan program dan intervensi yang dirancang sepanjang tahun ini.

“Ini termasuklah memperkasa penyampaian perkhidmatan melalui perluasan penggunaan teknologi dan pendigitalan,” katanya.

Ewon yakin dengan perancangan inisiatif dan intervensi yang bakal dilaksanakan oleh Kementerian dan Agensi pada tahun ini akan melengkapkan ekosistem keusahawanan yang lebih holistik dan kondusif.

“Saya berharap komitmen padu daripada semua warga Kementerian dan Agensi untuk membantu usahawan mencergaskan lagi aktiviti perniagaan mereka seterusnys menghasilkan kesan limpahan kepada pembangunan sosioekonomi rakyat Malaysia,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Mangsa samun ditetak, patah tulang, luka lengan kanan dan kiri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya