HomeIsu tempatanUMS lancar Makmal Hidup Perhutanan Pertama di Jawala Plantation, Sapulut

UMS lancar Makmal Hidup Perhutanan Pertama di Jawala Plantation, Sapulut

Read Time:2 Minute, 21 Second

SAPULUT: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan Makmal Hidup (Living-Lab) Perhutanan pertama di sini, baru-baru ini.

Bertempat di Jawala Plantation Sdn Bhd, pelancarannya disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.

Menurut Kasim, makmal itu akan membolehkan para penyelidik UMS dapat menyumbang kepakaran dan menghasilkan pelbagai penemuan baharu yang relevan dengan usaha yang dilakukan pihak syarikat.

“Para pelajar khususnya dalam jurusan perhutanan juga dapat menjadikan Living Lab ini sebagai tempat menjalankan latihan industri yang praktikal.

“Saya bagi pihak UMS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jawala Plantation Industries Sdn Bhd atas kesudian menerima cadangan merealisasikan Makmal Hidup Perhutanan UMS yang pertama,” katanya semasa majlis pelancaran makmal tersebut di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Jawala Inc, Rahman Khan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin, dan Dekan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie.

Menurut Kasim, makmal hidup itu berperanan penting dalam memberi nilai tambah kepada graduan UMS kelak.Katanya, para pelajar akan merasai penat lelah mendaki setiap cerun, menilai aroma kehijauan hutan yang menyegarkan, dan memegang serangga yang bermanja dengan pokok dan pelbagai tumbuhan hijau dalam hutan berkenaan.

“Dengan itu, mereka akan lebih menjiwai tugas dan tanggungjawab kerjaya dalam bidang perhutanan.

“Paling penting ialah di sini mereka akan tahu makna tugas dan tanggungjawab memelihara khazanah hutan yang sewajarnya dipelihara dengan baik untuk manfaat generasi mendatang,” jelasnya.

Ujar Kasim, sebagai balasan, pihak syarikat akan menyediakan kemudahan kepada para penyelidik terlibat dan juga para pelajar yang akan membuat kerja lapangan kelak.

“Selain itu, pihak syarikat juga akan memberikan latihan industri kepada para pelajar.“Hal ini akan mematangkan lagi ilmu yang mereka pelajari di bilik kuliah atau makmal dalam kampus,” katanya.

Dalam pada itu, Rahman menyambut baik usaha dan kesudiaan pihak UMS menjadikan ladang mereka sebagai makmal hidup perhutanan yang pertama.

Katanya, ia merupakan satu kerjasama strategik bagi memastikan khazanah hutan milik kerajaan wilayah Sabah dapat diurus dengan lebih baik.

“Pihak syarikat sangat giat memastikan agar Industrial Tree Plantations (ITP) dapat dilipatgandakan lagi usahanya agar untuk tempoh lapan hingga 10 tahun mendatang, lebih banyak pokok mampu ditanam dan seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi Sabah yang berpanjangan.

“Menerusi Forestry Living Lab ini kelak, ia akan mampu menghasilkan penambahbaikan dari segi pengurusan nurseri, penghasilan bibit benih yang bagus, mengawal ancaman penyakit terhadap proses tumbuhan pokok dan pelbagai lagi,” katanya.

Untuk rekod, Jawala Plantation Industries Sdn Bhd merupakan syarikat yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan Sabah mengurus penanaman semula pokok kayu spesies Laran, Albizia, dan beberapa spesies lain di tanah seluas 11,084 hektar di kawasan Hutan Simpan Sapulut.

UMS dan syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham Singapura itu telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada 20 Januari 2022 bagi mewujudkan sebuah kerjasama yang lestari menjurus kepada penyelidikan dan tempat praktikal kepada para pelajar khususnya dalam jurusan perhutanan FPT UMS. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Cubaan tangkap ikan guna bahan letupan berjaya digagalkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular