HomeUtamaPolis Kota Kinabalu selesaikan tiga kes samun berkawan dalam tempoh 24 jam

Polis Kota Kinabalu selesaikan tiga kes samun berkawan dalam tempoh 24 jam

Read Time:2 Minute, 39 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu telah berjaya menyelesaikan tiga kes samun berkawan dalam tempoh 24 jam dengan tertangkapnya enam suspek lelaki dan seorang wanita serta merampas beberapa barang kes, yang dilaporkan berlaku di antara 14 hingga 16 Januari 2023.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejayaan pihak polis menangkap enam lelaki dan seorang wanita sekaligus berjaya menyelesaikan tiga kes samun berkawan di Daerah Kota Kinabalu dalam tempoh 24 jam itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Kesiksaan.

Menurutnya, kes samun berkawan yang pertama telah berlaku pada 14 Januari 2023 jam lebih kurang 10.20 malam bertempat di parkir kenderaan di sebuah apartment di Daerah Kota Kinabalu.

“Mangsa seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus jualan telah disamun oleh seorang lelaki dan beg sandang mengandungi wang tunai RM15,000 dan beberapa barangan berharga termasuk dua buah telefon bimbit, kad ATM dan dokumen peribadi mangsa telah dilarikan oleh suspek dengan menaiki sebuah motosikal yang ditunggang oleh rakan sejenayah.

“Jumlah anggaran kerugian keseluruhan lebih kurang RM18,000.00,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Zaidi berkata, hasil siasatan agresif oleh pihak polis, pada 15 Januari 2023 telah berjaya mengesan dan menangkap satu suspek lelaki berumur 21 tahun dan merampas wang tunai RM2500 serta sebuah motosikal yang digunakan dalam kes samun ini dan pada 19 Januari 2023.

Dalam pada itu, katanya, satu lagi suspek lelaki berumur 42 tahun telah berjaya ditangkap dan merampas telefon bimbit, kad ATM bank dan dokumen peribadi mangsa,” ujarnya.

Manakala kes samun berkawan kedua, Mohd Zaidi berkata, dilaporkan pada 15 Januari 2023 pada jam 2.08 pagi melibatkan seorang mangsa iaitu pemandu e-hailing disamun oleh dua suspek di kawasan Menggatal, Kota Kinabalu.

“Mangsa yang baru selesai menghantar rakannya di kawasan tersebut telah ditahan oleh kedua suspek yang salah seorang darinya bersenjatakan sebatang kayu dan memaksa mangsa untuk membuka cermin kereta.

“Salah seorang suspek telah merampas beg silang serta dompet milik pengadu dan mengambil wang tunai sebanyak RM70.00 sebelum kedua suspek melarikan diri.

“Hasil siasatan agresif pada 15 Januari 2023, pihak polis telah berjaya menangkap satu suspek lelaki berumur 35 tahun dan satu suspek wanita berumur 36 tahun yang disyaki terlibat dalam kes samun ini,” katanya.

Sementara kes samun berkawan ketiga berlaku pada 15 Januari 2023 jam 8 malam di kawasan Sulaman Sentral, Kota Kinabalu.

“Dalam kes ini mangsa seorang pelajar perempuan telah disamun dan sebuah telefon bimbitnya berharga RM300 telah dilarikan.

“Mangsa telah bergelut dengan salah seorang suspek dan turut diseret oleh kenderaan suspek sebelum suspek berjaya menghilangkan diri bersama dua rakan sejenayah dengan menaiki sebuah kereta.

“Dalam kes ini mangsa telah mengalami kecederaan pada bahagian pipi dan kaki akibat diseret oleh kereta suspek,” katanya.

Menurut Mohd Zaidi, hasil siasatan agresif pada 19 Januari 2023 pihak polis telah berjaya menangkap tiga suspek lelaki berumur antara 23 hingga 30 tahun di Daerah Tuaran dan merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa serta sebuah kereta yang digunakan oleh suspek dalam kes samun ini.

“Sehubungan dengan itu, pihak polis Daerah Kota Kinabalu berterima kasih kepada orang awam yang telah membantu menyalurkan maklumat sehingga pihak polis berjaya menyelesaikan ketiga-tiga kes samun berkumpulan ini dalam tempoh 24 jam,” kata Mohd Zaidi.

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya