Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU: Kajian semula ke atas deposit pengguna Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan dilaksanakan bermula 1 Februari ini.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor berkata, ia adalah untuk memastikan kadar adalah mengikut penggunaan elektrik semasa.
Katanya, kajian tersebut perlu dilaksanakan mengikut peraturan yang termaktub dalam Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Pelaksanaan kajian deposit pengguna dilakukan setiap enam bulan dan keperluan ulangkaji ini adalah untuk memastikan semua pelanggan SESB dikenakan deposit atau wang cagaran berdasarkan penggunaan elektrik masing-masing.
“Seramai 80,163 pengguna berdaftar akan terlibat dengan kajian semula deposit mereka. Sekiranya purata dua bulan bil elektrik lebih daripada wang cagaran sedia ada, pelanggan akan diminta oleh SESB untuk membayar wang cagaran tambahan dan jumlah tambahan adalah bergantung kepada penggunaan elektrik masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Idris berkata, cagaran atau deposit adalah merupakan jaminan ke atas apa-apa liabiliti (sekiranya ada) atau hutang bil tertunggak apabila pengguna menamatkan kontrak.
Katanya, pengiraan amaun cagaran dibuat secara automatik melalui sistem pembilan.
“SESB memaklumkan semua pelanggan berdaftar SESB perlu menjelaskan deposit berdasarkan anggaran dua bulan penggunaan elektrik dan ia bukan suatu caj tambahan atau tersembunyi.
“Walaubagaimanapun jika penggunaan menurun dan jumlah cagaran melebihi dua bulan purata penggunaan, maka pengguna mempunyai pilihan untuk mendapatkan semula baki lebihan cagaran dengan membuat permohonan kepada SESB,” katanya.
Menurutnya, wang cagaran adalah merupakan hak milik pelanggan yang akan dipulangkan kembali apabila akaun ditutup atau apabila pelanggan membuat pertukaran akaun.
“Sekiranya pelanggan berdaftar meninggal dunia, waris terdekat pelanggan boleh menuntut bayaran balik wang cagaran dengan memajukan borang bon lepasan tanggungan atau surat mahkamah beserta sijil kematian pelanggan yang berdaftar di Pejabat SESB di alamat yang tertera di muka hadapan bil.
“Pelanggan SESB boleh melayari laman sesawang SESB di alamat www.sesb.com.my sekiranya ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan wang cagaran atau menghubungi SESB Careline 15454, 088- 515000 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 019- 852 5427,” katanya. – SABAH MEDIA