Polis patahkan sindiket seludup minuman keras, rokok hampir RM8 juta

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Polis berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai membabitkan nilai rampasan hampir RM8 juta dalam serbuan di tiga lokasi di Sandakan menerusi Op Kontraban, kelmarin.

Serbuan di salah satu lokasi semasa Op Konraban di Sandakan. -Foto ihsan PDRM Sabah

Operasi dilancarkan oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Bukit Aman, Petugas Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bermula jam 11 pagi hingga 2.30 petang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, bertindak atas maklumat dan risikan yang diperolehi, tiga serbuan membabitkan dua gudang dan sebuah rumah telah dilaksanakan.

“Hasil pengeledahan di tiga lokasi berkenaan merampas rokok tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM5,950,740.09.

“Pasukan serbuan turut merampas minuman keras, juga tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1,714,437.

“Hasil serbuan itu juga turut merampas dua van dan sebuah lori dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan berkenaan melibatkan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM7,915,177.45,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Menurut Idris, dalam serbuan itu, pasukan operasi turut menahan tiga suspek lelaki tempatan berusia 29, 37 dan 45 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga suspek yang ditahan itu bertindak sebagai penjaga premis dan pemandu.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras yang tidak bercukai kastam.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah untuk tindakan siasatan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Idris, kejayaan rampasan ini sekali gus berjaya memutuskan rangkaian sindiket pengedaran dan penjualan rokok serta minuman keras tidak bercukai di Sandakan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *