KOTA KINABALU: Pasukan Bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki telah terjatuh ke dalam gaung dengan kedalaman 200 kaki dalam satu kejadian di Kg Longkou Baru, Telipok, dekat sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.24 awal pagi tadi (22 Jan) mengenai kejadian berkenaan.
“Pasukan Bomba tiba di lokasi kejadian mendapati seorang mangsa lelaki dilaporkan telah jatuh kedalam gaung dengan kedalaman 200 kaki.
“Seterusnya pasukan Bomba bertindak membuat pencarian dikawasan tersebut. Mangsa telah ditemui oleh Pasukan Bomba dalam keadaan selamat dan hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, mangsa yang berusia 38 tahun itu kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak ambulan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 5.30 pagi,” katanya.