MA63: Kerajaan Perpaduan berjaya selesai sebahagian besar kandungan perjanjian

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu agihan perbelanjaan tahunan serta lantikan wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), merupakan antara perkara utama dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang berjaya diselesaikan Kerajaan Perpaduan.

Anwar berkata kerajaan juga bersetuju memulangkan kuasa untuk pelaksanaan perbelanjaan bagi pembangunan infrastruktur awam kepada kerajaan Sabah dan Sarawak, menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri masing-masing.

Beliau berkata selain itu Kerajaan Persekutuan juga akan membiayai projek pembinaan infrastruktur awam di Sabah dan Sarawak, dengan keseluruhan peruntukan diagihkan kepada kerajaan negeri secara bersyarat, iaitu perlu melalui pengawasan dan peraturan kewangan ketat serta dipantau Kementerian Kewangan.

“Sebagai contoh peruntukan tahunan misalnya, Sarawak selama ini hanya menerima RM16 juta dan jumlah berkenaan dianggap tak munasabah bagi mereka.

“Oleh itu, kita buat format dan peraturan bagi meningkatkan peruntukan berkenaan kepada RM300 juta setahun, tertakluk kepada beberapa perincian perjanjian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di bangunan KLSCAH di sini hari ini.

Anwar berkata hal tersebut penting untuk diselesaikan, bagi membuktikan yang Kerajaan Perpaduan serius menunaikan janji dimeterai dalam MA63.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya pada majlis itu menegaskan bahawa, sebahagian besar peruntukan dalam perjanjian MA63 yang berlarutan lebih 60 tahun, berjaya diselesaikan semasa mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang disertai Ketua Menteri Sabah dan Sarawak, pada Jumaat lalu.

Perdana Menteri berkata ia berjaya diselesaikan menerusi sokongan dan semangat perpaduan semua gabungan politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan, kejayaan menyelesaikan sebahagian besar perkara utama dalam MA63 itu turut didorong oleh ketegasan dan keikhlasan kepimpinan Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu berkenaan.- BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *