Kim Swee uji kemampuan tiga import baharu di Thailand

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

BERNAMA

MELAKA: Keserasian tiga import baharu Sabah FC yang diikat awal Januari lepas, bakal diuji dalam tiga perlawanan persahabatan yang berlangsung di Thailand, bermula 3 Februari depan.

Ketua jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata kesebelasan utamanya akan berangkat ke Bangkok pada 27 Januari ini, bagi melayani kunjungan kelab dari Korea, Thailand dan Denmark.

“Tiga perlawanan ini cukup penting, untuk memastikan kita mendapat rentak terutamanya dengan kehadiran ramai pemain baharu bersama pasukan Sabah FC.

“Jadi saya berharap dengan latihan yang diadakan di Thailand ini, akan mampu membentuk satu kombinasi yang baik sebelum berlangsung perlawanan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarganya di sini hari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Sabah FC sebelum ini telah mengikat tiga pemain import baharu iaitu bekas pemain Gremio Esportivo Brasil, Gabriel Peres; bekas pemain kelab IBV di liga Iceland, Telmo Castanheira; dan bekas pemain import Kelantan yang berasal dari Nigeria, Jacob Njoku.

Kehadiran tiga pemain import itu sekali gus memperkuatkan skuad badak, yang secara keseluruhan kini mempunyai lima pemain import termasuk Saddil Ramdani dan Park Taesu yang telah disambung kontrak.

Sementara itu pengendali berusia 52 tahun itu, mengakui memerlukan sedikit masa lagi untuk memantapkan prestasi pemain kendaliannya, meskipun telah menjalani latihan selama tiga minggu.

“Secara asasnya kita memerlukan tiga hingga lapan minggu latihan, untuk memastikan pemain berada pada tahap kecergasan yang cukup tinggi.

“Jadi kita berharap pemain dapat meneruskan latihan kerana setiap pemain dalam Sabah FC adalah penting memandangkan tahun ini kita mempunyai banyak perlawanan,” katanya.-BERNAMA.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *