HomeUtamaMYAirline berikrar untuk kekalkan prestasi operasi tepat pada masanya

MYAirline berikrar untuk kekalkan prestasi operasi tepat pada masanya

Read Time:1 Minute, 42 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu Malaysia, MYAirline Sdn Bhd, komited untuk terus memberikan prestasi tepat masa (OTP) yang sihat dalam operasinya, memandangkan permintaan terpendam pasca COVID-19 dan musim perayaan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Rayner Teo .

Beroperasi dalam industri yang dikawal, beliau berkata MYAirline sejak hari pertama operasinya pada 1 Disember 2022 sentiasa menekankan penyediaan kualiti yang tiada tandingan daripada segi keselamatan dan kebolehpercayaan termasuk berada dalam kedudukan terbaik dalam kelasnya untuk OTP dan pengalaman pelanggan untuk semua penumpang.

“Saya gembira untuk berkongsi bahawa kami telah mencapai 100 peratus OTP untuk beberapa kali dan kami dapat mengekalkan OTP yang sihat sehingga kini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Teo berkata demikian bagi mengulas terhadap komen Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada hari Jumaat yang menggesa syarikat penerbangan untuk memberi tumpuan kepada operasi mereka bagi mengurangkan kelewatan penerbangan.

Bagaimanapun, beliau berkata wujud beberapa cabaran di luar kawalan seperti cuaca buruk dan kesesakan lalu lintas pesawat yang dihadapi oleh industri penerbangan dalam mengekalkan OTP yang sihat.

“Saya percaya penumpang akan memahami situasi ini, antara cabaran lain ialah beratur panjang ketika melalui proses pelepasan Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sabah dan Sarawak, aerobridge dan ketersediaan tempat letak kereta.

Beliau berkata MYAirline mahu menyelesaikan isu-isu ini dengan agensi kerajaan yang berkaitan dan menggesa Kementerian Pengangkutan mengkaji semula perkara tersebut untuk menambah baik dan meningkatkan kualiti industri penerbangan Malaysia.

Sementara itu, syarikat penerbangan itu telah melancarkan laluan penerbangan terbaharunya yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Tawau.

Penerbangan pertama Z9 8903 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada pukul 6 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Tawau pada 8.55 pagi hari ini.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata laluan baharu itu merupakan penerbangan kedua ke Sabah, menawarkan penerbangan satu kali dalam sehari dan merekodkan faktor muatan melebihi 90 peratus.

“Dengan reputasi tepat masa MYAirline yang berkembang pesat dan pengalaman penumpang yang positif, pengembara boleh menjangkakan perjalanan yang selesa dan menggembirakan di laluan baharu ini dengan pesawat Airbus A320-200,” katanya.- BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Tindakan tegas jika tidak senonoh ketika sambutan Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya