KOTA KINABALU: Keharmonian dan keamanan yang dikecapi rakyat serta negeri selama ini perlu terus dikekalkan serta dipelihara.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan semua rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama, dapat meraikan perayaan mereka masing-masing.
“Sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Krismas dan Aidilfitri perlu dijadikan medan untuk merapatkan lagi hubungan serta mengeratkan perpaduan.
“Pembangunan yang saksama untuk semua rakyat akan terus dilakukan termasuk pemberian peruntukan untuk sekolah vernakular dan mubaligh serta badan keagamaan bukan Islam di negeri ini.
“Sebab itu, pada tahun ini, kita memperuntukkan sejumlah RM54.05 juta untuk tujuan itu dalam belanjawan negeri tahun ini. Jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM7.05 juta berbanding pada tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Santapan Tahun Baharu Cina 2023 bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, di Port View Palace Hall Tanjung Lipat di sini, hari ini.
Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, menjadi tetamu kehormat majlis berkenaan.
Majlis ini adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), yang kali pertama diadakan sempena Tahun Baharu Cina pada tahun ini.
Beliau turut melahirkan rasa gembira melihat majlis itu bukan saja dihadiri masyarakat Tionghua malah turut dimeriahkan rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri ini.
“Kerajaan negeri akan terus memastikan agenda pembangunan negeri dan kemajuan rakyat akan diberi tumpuan berterusan di Sabah pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya.
“Ini juga adalah kesungguhan dan azam kerajaan negeri untuk terus memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi yang akan membawa kebaikan kepada negeri serta rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik pada tahun 2022 dan berada di landasan yang betul di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Sehingga kini, kerajaan negeri telah memperoleh hasil sebanyak RM6.6 bilion, bukti bahawa ini adalah prestasi terbaik kita sejak merdeka. Ini juga adalah komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri agar Sabah terus maju.
“Kami tidak akan berputus asa tetapi akan meneruskan momentum ini. Saya mahu rakyat negeri ini termasuk masyarakat Tionghua terus bersama kami dalam perjalanan ini dan. Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan terima kasih kepada anda semua atas sokongan yang berterusan selama ini,” katanya. – SABAH MEDIA