BEAUFORT : Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memelihara perpaduan dan menjauhi segala bentuk persengketaan bagi membangunkan sebuah negara yang harmoni.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Siti Aminah Aching berkata, ia selari dengan dasar teras Kerajaan Perpaduan yang mementingkan kesepaduan antara semua pihak tidak kira latar belakang fahaman agama dan politik.
Katanya, masyarakat Malaysia secara keseluruhahnya perlu bangkit dalam kesatuan yang kukuh untuk mengembalikan kegemilangan negara terutama dalam membina kekuatan ekonomi yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19 beberapa tahun lalu.
“Melangkah ke tahun baharu 2023, saya ingin mengambil kesempatan menyeru rakyat Malaysia khususnya di kawasan ini, untuk bersama-sama berusaha menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara” katanya ketika ditemui semasa program lawatan ke kedai-kedai di daerah Beaufort,Kuala Penyu dan Menumbok di sini baru baru ini.
Program tersebut diadakan sempana sambutan Tahun Baru Cina sambil menyampaikan ucapan selamat tahun baru kepada golongan peniaga terutamanya kaum Tiong Hua dan sumbangan limau mandarin kepada mereka.
Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata , perpaduan adalah satu aset amat penting bagi sesebuah negara terutama mengekalkan kemakmuran dan kedaulatan negara.
Beliau berkata, asas utama perpaduan dapat dinikmati hingga ke hari ini dan rakyat berbilang kaum dapat meraikan setiap perayaan secara bersama.
“Kepelbagaian perayaan disambut meriah oleh masyarakat Malaysia adalah satu lambang keunikan yang membuktikan kejayaan negara dalam menyemai semangat perpaduan kaum dan sikap ini turut ditekankan dalam Kerajaan Perpaduan dibawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Justeru itu Aminah berkata, sikap tolarensi adalah teras utama perpaduan berbilang kaum di negara ini.Katanya, rakyat di negara ini harus bersyukur dengan nikmat yang dikecapi pada selama ini yang mampu dikatakan lengkap baik dari aspek ekomomi, sosial, politik dan lain-lain perkara.
“Jika kita lihat pada hari ini, kita telah menyambut setiap perayaan yang diraikan oleh setiap kaum yang tinggal di negara ini dengan penuh aman dan harmoni.
“Dengan tiada kekangan, tiada perasaan ragu-ragu dan disambut dengan penuh meriah bagi setiap aktiviti yang diadakan, ia telah membuktikan bahawa perpaduan negara kita amat kukuh,” katanya. – SABAH MEDIA