Penubuhan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah sedang diperincikan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang memperincikan penubuhan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat daerah, di seluruh negara.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ia adalah antara pendekatan baharu bagi memperkasakan tadbir urus pembangunan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga-peniaga kecil.

Katanya, majlis itu akan menjadi platform bukan hanya menyelesaikan hal-hal perlesenan tetapi juga perkara lain membabitkan kemudahan ruang niaga penjaja dan peniaga kecil di daerah seluruh negara.

“Oleh itu saya mencadangkan supaya majlis peringkat daerah ini dipengerusikan oleh pegawai daerah dan penolong pegawai daerah kecil di kerana bidang kuasa mengenai penjaja dan peniaga-peniaga kecil berada di bawah pentadbiran pejabat daerah.

“Bagi mengurus majlis ini, kementerian juga mencadangkan supaya sejumlah geran pentadbiran disalurkan terus kepada pejabat daerah untuk tujuan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus bersama pegawai-pegawai daerah dan penolong-penolong daerah seluruh Sabah, di dewan mesyuarat Pejabat SKM Sabah, di sini, hari ini.

Ewon berkata, bagi membolehkan kementerian menyediakan peruntukan pembangunan penjaja dan peniaga kecil-kecilan seluruh negara, data-data penjaja dan peniaga di setiap daerah perlu disediakan.

“Tujuan mendapatkan data khusus para penjaja dan peniaga kecil-kecilan di kawasan perkadaran atau luar perkadaran adalah untuk membolehkan kementerian merancang bajet pembangunan termasuk tamu-tamu tradisi di kawasan kampung pada masa akan datang. Ini antara wawasan saya yang akan saya bangkitkan dengan Perdana Menteri dan Kabinet Persekutuan kelak.

“Setakat ini kementerian hanya mempunyai data melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tekun. Itulah sebabnya kementerian ingin bekerjasama dengan pejabat-pejabat daerah di seluruh negara untuk tujuan ini,” katanya.

Dalam sesi libat urus tersebut juga, Ewon turut bersetuju dengan cadangan pegawai-pegawai daerah agar kementerian dan kesemua agensi kementerian memberi taklimat kepada pegawai-pegawai daerah Sabah berkenaan dengan skim-skim program pembangunan keusahawanan.

Taklimat mengenai cadangan struktur dan terma rujukan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat Daerah (MPUKPPD) disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Azizul Alias. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *