Lelaki tidak berpakaian ditemui terperangkap di Pulau Batu Laya-Laya

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA MARUDU: Seorang lelaki ditemui tidak berpakaian dipercayai dihanyutkan air banjir dan telah terperangkap selama tiga hari dua malam di Pulau Batu Laya-Laya, perairan laut Kampung Teringai Laut dekat sini.

Semalam, mangsa ditemui oleh orang awam tinggal bersendirian di pulau tersebut dipercayai hanyut semasa banjir besar berlaku pada 25 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan (Supt) Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.30 pagi semalam (27 Jan) berhubung penemuan lelaki tersebut di lokasi berkenaan.

Lokasi mangsa ditemui terperangkap selama tiga hari dua malam di Pulau Batu Laya-Laya. -Foto ihsan PDRM Kota Marudu.

“Operasi menyelamat sepasukan polis dibantu oleh orang kampung menggunakan satu bot kampung memandangkan bot pihak penyelamat tidak dapat merapat ke pulau batu tersebut.

“Operasi bermula dari jam 2.00 petang dan berakhir pada jam 3.30 petang. Seterusnya mangsa telah dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut dan mendapat rawatan pesakit luar,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Zairolnizal, berdasarkan keterangan mangsa, dalam kejadian 25 Jan 2023 jam lebih kurang 6.45 pagi, mangsa seorang nelayan berumur 52 tahun itu keluar dari rumah untuk membersih dan membuang air dalam perahu miliknya yang ditambat di tepi sungai Kampung Jambutan Laya- Laya.

“Tiba tiba berlaku banjir dan arus kuat telah menghanyutkan mangsa serta perahu lebih kurang dua kilometer sehingga ke perairan laut Kampung Teringai Laut.

“Mangsa kemudian terjun ke laut dan berenang ke Pulau Batu Laya-Laya untuk berlindung. Mangsa berada pulau tersebut selama tiga hari dua malam.

“Mangsa tidak berpakaian semasa ditemui disebabkan pakaian tertanggal semasa terjun ke laut dan berenang ke Pulau Batu. Jarak Pulau Batu dengan daratan Kampung Teringai Laut adalah lebih kurang 700 meter,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *