HomeUtamaESSCOM terus kuatkuasa undang-undang, kekang jenayah rentas sempadan

ESSCOM terus kuatkuasa undang-undang, kekang jenayah rentas sempadan

Read Time:1 Minute, 34 Second

LAHAD DATU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) terus giat mengkoordinasikan misi menguatkuasakan undang-undang di samping mengekang elemen jenayah rentas sempadan melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui pelaksanaan Operasi Bersepadu (OB).

Operasi kali ini menyasarkan beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai penempatan PATI di daerah Sandakan bermula 25 Januari lalu dan semalam.

Komander ESSCOM, Datuk Hamzah Ahmad berkata, operasi OB ini adalah bertujuan untuk mengesan dan menangkap PATI dengan mensasarkan lokasi dikenal pasti sebagai penempatan PATI di sekitar Sandakan yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat khasnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

Katanya, hasil pemeriksaan sepanjang operasi, seramai 26 PATI telah ditahan mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 sebelum diusir pulang ke negara asal.

“Manakala, jumlah nilai rampasan OB adalah sebanyak RM16,951 dengan batang kayu disyaki jenis tangar bulat menyumbang kepada nilai rampasan tertinggi selain barangan terkawal yang lain.

“Selain itu, operasi memotong sambungan elektrik secara haram turut dijalankan sekitar lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hamzah berkata, dalam operasi itu juga seramai 81 pegawai dan anggota turut terlibat dalam OB tersebut.

Antara agensi yang terlibat Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Majlis Perbandaran Sandakan dan Sabah Electricity Sdn. Bhd.

Katanya, ESSCOM turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat terutama para pegawai serta anggota keselamatan dan penguatkuasaan.

“Selaras dengan moto iaitu Bersama-sama Menjana Kesejahteraan, ESSCOM beriltizam akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam.

“Justeru, ESSCOM menyeru seluruh masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular