HomeUtamaRM4 juta untuk cetak al-Quran terjemahan bahasa empat etnik Sabah - KDMRS...

RM4 juta untuk cetak al-Quran terjemahan bahasa empat etnik Sabah – KDMRS Muslim

Read Time:2 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Malaysia (KDMRS Muslim) sedang melancarkan inisiatif untuk mengumpulkan dana kira-kira RM4 juta bagi membiayai kos penterjemahan dan penerbitan naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa etnik Murut, Rungus, Sungai dan Kadazan di Sabah.

Sehubungan itu, KDMRS Muslim mengalu-alukan sumbangan individu mahupun institusi bagi membantu membiayai kos penterjemahan tersebut yang dianggarkan RM4 juta untuk empat bahasa tersebut.

Pengerusinya, Haji Nicholas Sylvester berkata, untuk permulaan, pertubuhan ini akan mencetak 20,000 naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Dusun.

“Kami telah memulakan inisiatif menyediakan naskhah al-Quran tersebut pada Januari 2019 sehingga dapat disiapkan sepenuhnya pada 2022.

“Realitinya, Dusun adalah etnik majoriti penduduk di Sabah dengan jumlah lebih 869,000 orang namun minoritinya Islam iaitu kira-kira 22 peratus dan belum ada naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Dusun diedarkan untuk keperluan masyarakat tersebut.

“Naskhah al-Quran terjemahan bahasa Dusun telah diedarkan ke seluruh negara dengan tumpuan di Sabah terutama di semua surau, masjid, perpustakaan awam dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Haji Nicholas, kitab suci terjemahan itu disiapkan pasukan penterjemah yang menguasai Bahasa Arab dan bahasa Dusun. Selepas terjemahan itu disiapkan, naskhah tersebut disemak dan diluluskan oleh panel khas dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, pada masa sama, KDMRS Muslim sedang mengambil inisiatif menyediakan naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Rungus, Murut dan Sungai sebelum menyusul terjemahan bahasa Kadazan.

“Semua inisiatif ini memerlukan dana yang besar dan kami memohon sumbangan individu serta organisasi dermawan di luar sana untuk menjayakannya.

“Kami juga akan menerbitkan kitab Tafsir Ibnu Kathir dengan terjemahan bahasa Dusun yang memerlukan kos lebih sejuta ringgit juga,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, pertubuhan itu giat melaksanakan pelbagai program bagi membina persefahaman serta hubungan baik antara etnik Kadazan, Dusun, Murut, Rungus dan Sungai (KDMRS).

“Untuk 2023, KDMRS Muslim memfokuskan sekurang-kurangnya tujuh kegiatan utama kemasyarakatan melalui platform kebajikan dan pendidikan melibatkan masyarakat serta saudara baharu yang memerlukan bimbingan dalam pelbagai aspek.

“Antaranya, menaja pelajar KDMRS Muslim yang memerlukan pembiayaan untuk menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi.

“Kami juga akan menganjurkan program sempena Ramadan termasuk iftar di pedalaman dan menyambut Tadau Kaamatan versi patuh syariah di seluruh Sabah selain menyalurkan bantuan makanan dan perlindungan termasuk membaik pulih atau membina rumah, membangunkan ekonomi asnaf mualaf serta program pembangunan sahsiah,” tambahnya.

Turut dirancang oleh pertubuhan adalah program sembelihan ibadah korban di pedalaman serta kampung terpinggir selain membina surau terutama untuk komuniti mualaf di pedalaman yang belum mempunyai tempat ibadah dan pusat komuniti.

Katanya, banyak lagi program akan dianjurkan sepanjang 2023 dan memerlukan dana yang besar. Justeru selain kewangan, kami turut memerlukan sokongan tenaga kerja, doa serta sumbangan daripada masyarakat mahupun institusi.

Beliau turut mengalu-alukan kepada individu dan institusi yang mahu mendukung inisiatif ini boleh menyalurkan sumbang kepada KDMRS Muslim menerusi akaun Bank Islam no: 1005 2010 1170 95.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya