HomeUtamaUMS ambil berat kebajikan warga kampus, laksana beberapa inisiatif kurangkan impak catuan...

UMS ambil berat kebajikan warga kampus, laksana beberapa inisiatif kurangkan impak catuan bekalan air

Read Time:2 Minute, 40 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengambil dan melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengurangkan impak akibat catuan bekalan air daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) ke kampus induk UMS di sini.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, ia termasuklah menyediakan tangka-tangki tambahan di luar kolej-kolej kediaman yang lengkap dengan sistem pam dan perpaipan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor

“UMS sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan warga kampus termasuk pelajar yang sebelum ini menghadapi masalah kekurangan bekalan air di kampus induk Kota Kinabalu.

“Dalam beberapa siri pertemuan dengan pihak JANS, kita dimaklumkan bahawa jumlah keperluan bekalan air bagi menampung keseluruhan kawasan yang menggunakan bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Tuaran adalah sebanyak 190 Juta Liter Sehari (MLD).

“Walau bagaimanapun LRA Telibong hanya mampu menghasilkan bekalan air terawat sekitar 164 MLD. Pada masa yang sama, mereka juga berhadapan dengan kes kecurian/kehilangan bekalan air iaitu sehingga 8 MLD.

Sumber air graviti dari bukit dalam kampus UMS.

Selain itu, kerja-kerja pemindahan dan naik taraf saluran paip di sepanjang jalan Pan Borneo juga sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

LRA Telibong turut menyalurkan bekalan air terawar seluruh kawasan Tuaran, Tamparuli, Sepanggar, Karambunai, Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Likas, Indah Permai, Kingfisher, 1Borneo, Alamesra, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Putrajaya Kota Kinabalu serta kawasan perindustian Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP).

Kasim berkata, bekalan air daripada LRA Telibong adalah tidak mencukupi dan gangguan bekalan dijangka akan selesai sepenuhnya pada tahun 2024.

Tangki tadahan air dari sumber bekalan air graviti

Berikutan itu katanya, pihak JANS terpaksa membuat catuan bekalan air yang menyebabkan seluruh kawasan yang menerima bekalan air terawat daripada LRA Telibong terkesan termasuk kampus induk UMS.

“Untuk makluman, kampus induk UMS memerlukan sekitar 3 MLD hingga 5 MLD sehari untuk menampung keperluan air terawat di dalam kampus.

“Selain menyediakan tangki di kolej kediaman, UMS ketika ini juga menggunakan perkhidmatan lori tangki bagi membekalkan air terawat JANS.

“Bekalan ini diperolehi daripada LRA Moyog Penampang, dan sehingga 20 kali penghantaran lori tangki air sehari atau anggaran kapasiti sehingga 300,000 liter sehari dibekalkan untuk kegunaan kolej kediaman pelajar dan juga  bangunan sekitar dalam kampus UMS.,” katanya.

Sementara itu, Kasim berkata, UMS juga sentiasa berhubung dengan pihak JANS dalam menyampaikan tahap gangguan dalam kampus induk UMS dan juga pemantauan harian aras bekalan air terawat di tangki R13 JANS.

Antara tangki tambahan yang diletakkan di luar kolej-kolej kediaman dalam kampus

Selain itu katanya, UMS turut mencari sumber air alternatif dalam kampus antaranya melalui air bukit.

“Pihak UMS telah membuat satu perpaipan daripada punca air bukit, dalam kampus yang mampu membekalkan air sebanyak 80,000 Liter Sehari.

“Pihak UMS juga telah mengenalpasti punca air bukit lain dan akan membuat perpaipan baru bagi penyaluran air bukit berkenaan untuk kegunaan pelajar,” katanya.

“Selain itu, UMS juga akan menggunakan Air Tube Well sebagai pelan jangka masa panjang ke arah mendapatkan bekalan air daripada kaedah ini lengkap dengan sistem rawatannya sekali,” katanya.

Menurutnya, tindakan-tindakan ini bukannya penyelesaian yang menyeluruh, namun pihak UMS komited berusaha melakukan tindakan yang perlu demi mengurangkan impak catuan ini demi keselesaan pelajar dan warga kampus induk UMS. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya