Pendidikan, pembangunan ekonomi rakyat akan terus diberi fokus utama – Arifin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

MEMBAKUT: Bidang pendidikan dan keilmuan rakyat khususnya di daerah ini akan terus diberi fokus utama apabila Membakut diwartakan sebagai daerah penuh.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah pembangunan ekonomi masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut.

“Seperti sebelum ini, saya akan terus memberi fokus dalam bidang pendidikan, keilmuan dan pembangunan ekonomi masyarakat di kawasan kita apabila daerah ini diwartakan sebagai daerah penuh.

“Kerana bagi saya, pada asasnya pendidikan dan ilmu pengetahuan amat penting dan berguna untuk seseorang individu untuk terus maju kehadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Prisma Peringkat DUN Membakut sesi 2023 di sini hari ini.

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, pada ketika ini penaiktarafan daerah kecil Membakut kepada daerah penuh telah berada di peringkat pewartaan.

Katanya, proses persempadanan kawasan daerah ini juga telah selesai dilaksanakan.

“Pada masa ini proses penaiktarafan daerah kecil Membakut kepada daerah penuh masih menunggu pewartaan, manakala persempadanan kawasan telah selesai dilaksanakan.

“Mudah-mudahan apabila sudah ada pewartaan ini kita akan memohon kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mewujudkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sendiri, mudah-mudahan ianya akan dipertimbangkan,”katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Arifin turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut dan SMK Membakut 2 serta mengumumkan tambahan peruntukan RM10,000 bagi melaksanakan program Apresiasi Prisma akan datang

Turut diadakan adalah penyampaian anugerah dan sijil penghargaan antaranya Anugerah Ikon Guru 2022, Anugerah Pengurusan Cemerlang 2022 bagi Pengetua dan Guru Besar dan Anugerah Pengurusan PIBG Cemerlang. -SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *