KPM disaran beri peluang anak jati Sabah isi kekurangan guru di negeri ini – KGKS

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 15 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menggesa supaya kerajaan mempertimbangkan pengambilan guru dari kalangan anak jati Sabah untuk mengisi kekurangan guru di negeri ini.

Presidennya Mohd Kifflee Alli berkata,
ini adalah susulan isu pengangguran yang serius di Sabah dan perlu dilihat secara holistik serta ditangani secara bersama oleh semua pihak, salah satunya melalui penglibatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan memanfaatkan tenaga graduan daripada kalangan anak jati di negeri Sabah sebagai pendidik.

“Mewakili siswazah dan belia yang sedang menganggur di Sabah, kami Kesatuan Guru- Guru Kerajaan Sabah menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia memberi peluang kepada graduan daripada kalangan anak jati Sabah untuk mengisi kekurangan guru di negeri ini.

“Ini adalah sebagai langkah mengatasi kadar pengangguran selain bagi mengelakkan lebih ramai tenaga kerja di negeri ini berhijrah ke luar untuk mencari rezeki,” katanya pada sidang media di pejabat KGKS di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan kutipan data yang dibuat oleh KGKS, terdapat seramai 111 orang
graduan di negeri ini ingin memohon menjadi guru manakala 74 orang calon yang sudah memohon Contract Of Service (COS) pada tahun 2021 namun tidak dipanggil untuk ditemuduga.

“Justeru, kami mencadangkan agar KPM segera melaksanakan tindakan serampang dua mata dengan mewujudkan permohonan khas jawatan guru kepada graduan anak jati negeri Sabah sebagai langkah mengatasi masalah kekurangan guru sekaligus mengurangkan kadar pengangguran di negeri bawah bayu ini.

“Selain itu, KGKS juga memohon supaya guru-guru COS yang sedang berkhidmat dan masih berstatus kontrak agar dipermudahkan laluan mereka menjadi guru tetap sekiranya mempunyai kelayakan,” tegasnya.

Terdahulu, memetik laporan berita Bernama baru-baru ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon supaya Kementerian Pendidikan menawarkan semula jawatan guru sandaran bagi menampung isu kekurangan guru termasuk di Sabah dan Sarawak.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, berkata, kekurangan guru di Sabah dan Sarawak antaranya disebabkan dasar hanya 10 peratus kuota guru dari Semenanjung yang boleh ditempatkan di wilayah berkenaan.

Sehubungan dengan itu, Mohd Kifflee turut memaklumkan data kadar pengangguran di Sabah pada suku ketiga tahun lepas iaitu 8.2 peratus seramai 174,200 orang perlu dilihat secara serius.

“Kami tidak mahu lebih ramai bakat di negeri ini keluar berhijrah keluar seperti apa yang berlaku pada tahun 2020 apabila seramai 45,900 orang tenaga kerja Sabah dilaporkan oleh Kementerian Sumber Manusia berhijrah mencari peluang kerja di luar. Ini merupakan isu ‘brain drain’ yang sangat kronik bagi negeri ini.

“Oleh itu, mekanisme terbaik yang boleh diambil oleh sektor pendidikan pada ketika ini bagi menangani isu kekurangan guru di Sabah adalah dengan memanfaatkan terlebih dahulu bakat dalam kalangan graduan siswazah negeri ini yang ingin menjadi guru,” ujarnya.

Tambah beliau, bukan sahaja isu kekurangan guru dapat diatasi, malah sedikit sebanyak KPM juga akan dianggap prihatin terhadap masalah pengangguran dan kehilangan tenaga mahir di negeri ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *