Semua sekolah rendah diharap wujudkan PPKI

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 8 Second

BERNAMA

SANDAKAN: Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berharap Program Pendidikan Khas Intergasi (PPKI) dapat diwujudkan di semua sekolah rendah bagi memastikan tiada kanak-kanak kurang upaya tercicir daripada mendapat pendidikan sewajarnya.

Menyifatkan isu pendidikan kepada golongan kanak-kanak itu sebagai dekat di hatinya, beliau berkata akses kepada pendidikan adalah hak untuk semua rakyat tidak mengira kaum, agama dan keupayaan.

“Saya berharap kita dapat adakan lebih banyak kelas sebegitu (PPKI) mengikut daerah kerana semua tempat ada kanak-kanak khas… program ini harus dipertahankan,” katanya kepada pemberita selepas melawat dua sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Anib 3 yang mempunyai kelas PPKI, dekat sini semalam.

Lim turut mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada sekolah tersebut untuk penyelenggaraan dan baik pulih.

Beliau turut melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Ying di Batu Sapi dekat sini yang memohon sokongan Kementerian Pendidikan untuk berpindah ke lokasi baharu atas faktor kekurangan murid.

Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Pei Ying, Lo Pao San berkata tapak baharu seluas 1.2 hektar di Taman Nasalim, kira-kira 6 kilometer dari pusat bandar, telah berjaya diperoleh dengan kerja-kerja pembinaan bangunan baharu melibatkan dana RM5 juta daripada pihaknya.

“Sekolah baharu nanti akan mempunyai sebuah blok bangunan dua tingkat yang akan menempatkan 10 bilik darjah untuk taman didikan kanak-kanak (tadika) dan sebuah blok bangunan tiga tingkat dengan 30 bilik darjah untuk sekolah rendah,” katanya. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *